KEKALAHAN besar dua kelab gergasi – Liverpool dan Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada lawan masing-masing hujung minggu lalu dianggap satu malapetaka kepada penyokong setia mereka.
Apa tidaknya, kekalahan memalukan yang dialami Liverpool dan United nyata mengejutkan penyokong serta ‘peminat gelap’ kedua-dua kelab paling berpengaruh di England itu.
Sesudah United dimalukan Tottenham Hotspur dengan kekalahan 1-6, tidak lama kemudian giliran Liverpool pula terpaksa tunduk malu kepada Aston Villa apabila tewas 2-7.
Sebelum itu, Manchester City terlebih dulu mengalami nasib sama. Buat pertama kali selepas mengharungi 438 perlawanan di laman sendiri – Stadium Etihad, City bolos lima gol ketika tewas 2-5 kepada Leicester City.
Situasi yang dialami ketiga-tiga kelab tersebut seakan-akan memberi petanda awal betapa persaingan memburu kejuaraan EPL musim ini lebih terbuka.
Sejak tiga musim lalu, perebutan trofi EPL lebih terarah kepada City dan Liverpool. City berjaya mendominasi EPL dua musim berturut-turut (2017/2018 dan 2018/2019) manakala Liverpool mengakhiri penantian 30 tahun apabila muncul juara edisi 2019/2020.
Sebelum musim baharu 2020/2021 bermula, Liverpool dan City dicanang-canang sebagai pasukan pilihan. Chelsea, Arsenal mahupun United turut berada dalam senarai calon juara bersandarkan kepada rekod mereka sebelum ini.
Begitupun, pada awal saingan musim ini mula memperlihatkan kejutan daripada kelab bukan pilihan seperti Everton, Aston Villa dan juga Leicester. Everton lebih mencuri tumpuan apabila merekodkan empat kemenangan bersih.
Kehadiran bekas bintang Real Madrid, James Rodriguez dan ditambah pula dengan sentuhan pemusnah penyerang England, Dominic Calvert-Lewin, segala-galanya tampak efektik buat Everton ketika ini. Biarpun persaingan memburu kejuaraan EPL masih awal, gergasi-gergasi EPL kini sudah tidak boleh lagi mendabik dada.
Jika skrip kejutan itu berterusan, tidak mustahil juara baharu EPL bakal menjadi milik kelab kerdil sebagaimana yang dicipta Leicester ketika dijulang sebagai juara EPL musim 2015/2016.
Klik di sini untuk terus membaca