KETIKA wabak koronavirus (Covid-19) semakin meningkat di Malaysia, rakyat sentiasa tertunggu-tunggu rancangan terkini kerajaan bagi mengawal jangkitan virus tersebut.
Setiap hari, rakyat menantikan arahan daripada sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan penuh tekun.Setiap arahan dan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada diperketatkan, bersyarat mahupun pemulihan di sesuatu kawasan akan diikuti dengan sebaiknya.
Pada 20 Oktober, kerajaan telah mengumumkan semua pekerja sektor awam dan swasta bahagian pengurusan serta penyeliaan dalam zon merah di kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu bekerja dari rumah.
Pada sidang media itu juga, semua pekerja yang terpaksa bekerja di pejabat dan tinggal di zon merah perlu melakukan saringan Covid-19 dan jika pekerja mempunyai caruman Perkeso, kos akan ditanggung oleh Perkeso.
Namun pada keesokan harinya pula, arahan itu bertukar menjadi hanya industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kakitangan awam sahaja yang perlu mengikuti arahan bekerja dari rumah.
Arahan pada hari Rabu itu turut membatalkan semua pekerja yang terpaksa bekerja di zon merah diwajibkan menjalani ujian calitan Covid-19. Arahan saringan ditukar daripada wajib kepada ‘hanya digalakkan’ untuk pekerja melakukannya.
Pengumuman yang sering bertukar setiap hari ini menyebabkan rakyat terutamanya peniaga kecil menjadi keliru. Sudahlah impak PKP sejak bulan Mac yang lalu masih tidak habis, ditambah pula dengan arahan berbelit-belit oleh kerajaan sekarang menyebabkan rakyat menjadi semakin pening.Mereka risau jika terus berniaga, nasi lemak yang dijual tidak laku. Jika tidak berniaga pula, di mana mahu mencari pendapatan. Di rumah ada keluarga yang perlu disara.
Oleh itu, sebaiknya pihak berwajib berbincanglah terlebih dahulu dan umumkan perkara yang sudah dimuktamadkan. Janganlah kementerian ini umum sekian, kementerian lain pula umum perkara lain. Sepatutnya wakil pekerja dan sektor swasta perlu ada dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Arahan biar jelas. Rakyat pasti akan ikut setiap arahan kerajaan. Semua orang bertanggungjawab untuk melandaikan lekuk Covid-19!
Klik di sini untuk terus membaca