ESOK, umat Islam di Malaysia akan menyambut Maulidur Rasul ketika isu menghina Nabi Muhammad SAW masih menjadi duri dalam daging di sesetengah tempat di seluruh dunia.
Dalam insiden terbaru, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menjadi sasaran kemarahan dunia Islam selepas dikatakan mengkritik agama Islam dan menghina nabinya.
Dalam reaksinya terhadap tragedi Samuel Paty, seorang guru yang dipenggal kepala kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad di dalam kelas, Macron berikrar Perancis tidak akan beralah dalam isu karikatur berkenaan malah menyatakan guru itu dibunuh ‘kerana Islam mahukan masa depan mereka’.
Malaysia baru-baru ini mengecam tindakan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo yang mahu menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad. Karikatur berkenaan menjadi punca serangan oleh penembak beragama Islam terhadap pejabat akhbar itu di Paris pada tahun 2015 dan mengorbankan 12 orang.
Dalam Islam, nabi tidak boleh digambarkan seperti manusia demi menjaga kemuliaan baginda. Perkara itu dianggap menghina, malah di Pakistan, pelakunya boleh dijatuhi hukuman mati.
Sukar untuk mempercayai bahawa dalam dunia moden ini masih ada pihak yang tidak menghargai mengenai pentingnya hidup bersama dalam suasana aman berbilang agama. Apatah lagi Islam bukanlah agama asing di dunia.
Malangnya, perbuatan menghina nabi terus berlaku termasuk di Malaysia. Namun, umat Islam sejati tidak akan membalas dendam dengan menghina agama lain.
Pengetahuan yang terhad mengenai Islam dan Nabi Muhammad adalah antara punca pihak tertentu bertindak menghina agama itu dan pesuruh-NYA.
Justeru, bulan suci Rabiulawal ini adalah waktu yang tepat untuk mendalami sirah kenabian dan belajar mengenai kehidupan, tingkah laku dan karakter indah Nabi Muhammad.
Sempena sambutan Maulidur Rasul esok, umat Islam juga harus memberi pemahaman yang jelas mengenainya kepada masyarakat Malaysia berbilang kaum.
Kita hanya boleh benar-benar menyayangi seseorang jika kita tahu siapa dirinya. Tak kenal maka tak cinta.
Klik di sini untuk terus membaca