Bulan ini, bermulalah musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Mac 2021. Fenomena itu bukan lagi baharu kerana ia berlaku pada setiap tahun sejak berzaman lagi berpunca daripada tiupan angin dari Siberia. Sepanjang musim berkenaan,... Klik di sini untuk terus membaca

Bulan ini, bermulalah musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Mac 2021. Fenomena itu bukan lagi baharu kerana ia berlaku pada setiap tahun sejak berzaman lagi berpunca daripada tiupan angin dari Siberia.

Sepanjang musim berkenaan, hujan lebat, laut bergelora dan banjir berlaku di beberapa tempat terutama kawasan pantai timur dari November hingga Disember.

Bermula Januari sehingga Mac pula, situasi sama berlaku di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengunjungi kawasan berair seperti laut, tasik dan sungai, kawasan rendah mudah ditenggelami air serta tanah tinggi berisiko berlaku runtuhan untuk mengelak tragedi yang tidak diingini.

Namun, setiap tahun masih lagi berlaku tragedi yang meragut nyawa walaupun peringatan telah disampaikan oleh kerajaan melalui pelbagai medium seperti radio, televisyen dan media sosial.

Masih ada segelintir yang degil turun ke laut untuk memancing, masuk ke hutan memanjat gunung dan mandi-manda di sungai kerana pada ketika itu ramai yang menghabiskan cuti tahun, selain membawa anak bercuti sempena cuti sekolah.

Musim tengkujuh bukan pesta hujung tahun yang boleh diraikan bersama teman mahupun ahli keluarga. Kehadirannya membawa 1,001 kesan yang boleh mengakibatkan kerosakan dan kerugian harta benda, selain mengorbankan nyawa.

Kesan fenomena itu tidak mengenal bangsa, usia, pangkat dan agama. Mereka yang gagal menjaga diri pasti akan menjadi mangsa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lebih 300 kematian akibat lemas dicatatkan di seluruh Malaysia setiap tahun dan jumlah tersebut meningkat ketika musim tengkujuh.

Bagaimanapun, angka direkodkan oleh JBPM itu boleh dikurangkan sekiranya orang ramai mengambil inisiatif duduk di rumah dan melakukan aktiviti bermanfaat bersama keluarga, tambahan pula dalam situasi penularan koronavirus (Covid-19) yang memaksa rakyat bertahan di rumah masing-masing.

Klik di sini untuk terus membaca