SEJAK beberapa minggu lalu, kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dikhabarkan sudah mula mengatur langkah. Masing-masing sedang ligat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Liga-M musim depan.
Bagi pasukan yang mempunyai dana besar, mungkin tidak ada masalah membawa masuk pemain-pemain baharu berstatus bintang. Malah, pasukan mewah itu juga mampu mendapatkan khidmat jurulatih berprofil tinggi.
Namun, bagi pasukan yang kantungnya tidak seberapa, mereka sudah tentu tidak dapat mencabar pasukan-pasukan berstatus kayangan. Sumber kewangan yang terhad pastinya menjadi batu penghalang terbesar buat mereka.
Apa sekalipun status sesebuah pasukan itu, tidak kira yang ada bajet besar mahupun bajet kecil, paling penting mereka harus bijak berbelanja. Apatah lagi dalam situasi dunia dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.
Gara-gara ancaman Covid-19 yang menular di Malaysia sejak sembilan bulan lalu, rata-rata pasukan Liga-M menghadapi masalah untuk menjana sumber pendapatan masing-masing sepanjang musim ini.
Ada pasukan yang dananya terpaksa dipotong pihak penaja. Malah, ada pasukan yang kehilangan penaja akibat ketidaktentuan krisis Covid-19. Lebih terkesan apabila wang kutipan tiket perlawanan di stadium jatuh mendadak.
Melihatkan senario yang berlaku sepanjang Liga-M musim ini yang menyaksikan Piala Malaysia terpaksa dibatalkan di tengah jalan, setiap pasukan diingatkan tidak berbelanja terlalu boros.
Ibarat kata pepatah Melayu – ukur baju di badan sendiri, mana-mana pasukan haruslah berbelanja mengikut kemampuan masing-masing. Tak salah berbelanja tetapi biarlah sepadan dengan kantung yang ada.
Harus juga diingat, pihak penaja juga masih berhati-hati sebelum bersedia menghulurkan tajaan mereka. Jika tajaan tak mencukupi daripada bajet yang diunjurkan, bagaimana nak survive sepanjang musim nanti.
Sebaik-baiknya beringatlah daripada sekarang. Jangan sampai berbelanja mewah sehingga sanggup ‘bergolok bergadai’. Paling tidak sedap didengar, akhirnya nanti timbul lagi masalah tunggakan gaji.
Klik di sini untuk terus membaca