PENYERANG baharu Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mempunyai misi tersendiri musim depan terutama dalam usaha membantu The Red Giants menjadi antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M). Menurutnya, dia sedar... Klik di sini untuk terus membaca

PENYERANG baharu Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mempunyai misi tersendiri musim depan terutama dalam usaha membantu The Red Giants menjadi antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Menurutnya, dia sedar tanggungjawab yang perlu digalas terutama bergelar seorang pemain penyerang untuk merobek gawang gol lawan seterusnya membantu pasukan meraih kemenangan.

"Dalam tahun pertama saya bersama Selangor, mungkin saya menyasarkan jaringan lebih atau mengekalkan 10 gol daripada apa yang saya buat pada musim lepas.

"Namun, ia tidak mudah kerana saya baru sahaja bersama kelab ini apatah lagi Selangor juga mempunyai penyerang hebat seperti Ifedayo Olusegun dan Danial Asri.

"Saya perlu bekerja keras dan apa jua yang saya lakukan mestilah mengutamakan pasukan. Itu adalah yang lebih penting,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, The Red Giants sah mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu daripada pasukan Perak untuk menajamkan lagi jentera serangan pasukan tersebut.

Namun, Shahrel Fikri atau lebih dikenali sebagai Eky berdepan cabaran untuk menembusi skuad utama Selangor terutama dengan adanya kelibat penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun dan penjaring terbanyak Liga Premier, Danial Asri.

Shahrel Fikri mengakui cabaran pertamanya sebaik menyarung jersi gergasi Lembah Klang itu adalah untuk menambat hati pengendali pasukan, Karsten Neitzel.

"Saya pemain baharu dalam pasukan jadi mungkin coach belum mengenali saya. Apa yang saya perlu buat adalah tunjukkan kemampuan saya dalam sesi latihan untuk memudahkan saya masuk kesebelasan utama pasukan.

"Sebenarnya banyak kelemahan yang saya perlu perbaiki lebih-lebih lagi dengan pasukan baharu. Perkara paling utama saya kena membentuk keserasian bersama para pemain,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca