PENDEDAHAN Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mengenai kes mencuri data peribadi pengguna sosial untuk mengaut untung mudah perlu dilihat dengan lebih serius. Ini kerana kegiatan tersebut akan menyebabkan kerugian yang besar kepada... Klik di sini untuk terus membaca

PENDEDAHAN Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mengenai kes mencuri data peribadi pengguna sosial untuk mengaut untung mudah perlu dilihat dengan lebih serius.

Ini kerana kegiatan tersebut akan menyebabkan kerugian yang besar kepada mangsa apabila nombor pin akaun, nombor kad kredit atau debit boleh dicuri oleh penjenayah berkenaan.

Seperti yang dinyatakan Presiden MCCA, Siraj Jalil, data yang dicuri akan dihantar kepada pemilik Spyware untuk digunakan secara terus atau dijual kepada pihak ketiga.

Kata Siraj, sasaran maklumat yang menjadi sasaran Spyware termasuk log masuk perbankan atau sebarang aplikasi dan laman sesawang kewangan serta laman sosial pengguna.

Menurutnya, disebabkan kegiatan tersebut, berlaku kes kehilangan wang dalam akaun atau akaun media sosial akan digodam untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Mulitimedia Malaysia (SKMM) dan polis perlu bekerjasama untuk melihat kegiatan tersebut dan memeranginya hingga ke peringkat akar umbi.

Satu pasukan khas perlu dibentuk untuk memerangi jenayah siber ini sama seperti pasukan untuk memerangi jenayah berat dalam negara kita.

Ia seiring penggunaan internet yang meningkat mendadak disebabkan peredaran masa dan kemunculan pandemik Covid-19 yang menyebabkan manusia bergantung kepada teknologi dan internet.

Penjenayah siber tidak boleh dibiarkan terus menerus menganiaya pengguna media sosial untuk tujuan mengaut keuntungan kerana kesan lebih besar akan berlaku kelak.

Bagi pengguna media sosial pula, tahap kesedaran mengenai penggunaan akaun perbankan dan maklumat peribadi perlu ditingkatkan.

Sikap sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan di alam siber perlu dipraktikkan kerana penjenayah berkenaan sentiasa mencari mangsa untuk diperdaya.

Sentiasa dapatkan maklumat tepat daripada pihak yang bertanggungjawab kerana perubahan yang berlaku di alam maya pantas seiiring kecanggihan teknologi.

Beringat sebelum kena kerana apabila sudah terkena, menyesal pun tidak berguna!

Klik di sini untuk terus membaca