AGENSI penarafan antarabangsa, Fitch Ratings pada minggu lalu mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada 'A-' kepada 'BBB+', dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil. Agensi berkenaan menjelaskan penurunan... Klik di sini untuk terus membaca

AGENSI penarafan antarabangsa, Fitch Ratings pada minggu lalu mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada 'A-' kepada 'BBB+', dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil.

Agensi berkenaan menjelaskan penurunan nilai IDR disebabkan krisis Covid-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia.

Metrik hutang kerajaan juga didapati merosot disebabkan wabak itu, sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada tahun 2019.

Keputusan daripada Fitch Ratings itu sudah tentu tidak boleh diterima seluruh rakyat negara kita. Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri melahirkan rasa kecewa dengan penarafan berkenaan terutama ketika penularan Covid-19 masih gagal ditangani secara berkesan.

Kita bagaimanapun perlu bersikap optimis bahawa penarafan Fitch itu bukanlah bersifat kekal dan tidak perlu terlalu cepat berputus asa.

Sekiranya proses pemulihan ekonomi negara berjaya dilakukan dalam tempoh terdekat, sudah pasti penarafan itu akan dinaikkan semula seperti yang pernah dialami ketika berdepan krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Namun, memang tidak dinafikan, selain Covid-19, ketidakstabilan politik di Malaysia turut menjadi faktor kedudukan ekonomi negara gagal memacu dengan baik sepanjang tahun ini.

Penurunan penarafan itu memperlihatkan pandangan ramai bahawa Malaysia sebenarnya perlukan kerajaan yang komited dan mempunyai perancangan masa depan yang lebih tersusun.

Krisis politik yang berpanjangan merugikan semua pihak, sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, sementara rakyat jelata terus terhimpit apabila masalah mereka tidak didengari dan diselesai oleh pihak kerajaan.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang diturun taraf oleh agensi penarafan antarabangsa itu kerana terdapat 100 buah negara lain turut mengalami penarafan pada tahun ini termasuk United Kingdom, Hong Kong, Chile dan Laos.

Kerajaan dan rakyat jelata kini mesti bertekad untuk sama-sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara dengan kadar segera.

Klik di sini untuk terus membaca