AMAT jelas sekali kita semua sentiasa sibuk dengan hal remeh-temeh, sentiasa bercakaran dengan isu politik kepartian dan isu perkauman sempit yang tidak berkesudahan.
Kerana sikap tersebut dan kelekaan masing-masing, kita menerima padah apabila dua 'tragedi’ besar yang berlaku nyata menunjukkan kecuaian kita semua.
Pertama, bagaimana sempadan negara dibiarkan dibolosi dengan mudah apabila sindiket pemalsuan cap sempadan didalangi pegawai dan anggota imigresen sendiri.
Kegiatan itu melibatkan pasport warga asing yang dicap di sempadan walaupun pemilik dokumen tidak keluar dari Malaysia.
Golongan yang sepatutnya menjadi pelindung kepada kemasukan warga asing secara haram dengan mudah menggadaikan negara kerana tergoda dengan habuan wang ringgit dan kereta mewah.
Kita yang terleka kerana membiarkan mereka bebas melakukan jenayah tersebut sejak sekian lama.
Tragedi kedua yang cukup mengecewakan adalah taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.
Kartel yang menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku membuat label dan cap palsu yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Tindakan itu dibuat bagi meyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.
Entah berapa lama kita sudah memakan daging yang tidak diketahui halal haram, bahkan paling dibimbangi tidak tahu daging binatang apa yang telah dijamah selama ini.
Sekali lagi kita terleka, mudah percaya dan membiarkan golongan berkenaan terus menerus menipu kita demi keuntungan singkat.
Sekiranya kita terus terleka dan tidak berbuat apa-apa, kita akhirnya akan sentiasa menjadi golongan yang sentiasa mudah diperdaya.
Kita tidak mahu Malaysia menjadi hab penipuan kerana warganya yang sentiasa leka.
Kita perlu bertindak segera sebelum nasi menjadi bubur!
Klik di sini untuk terus membaca