BAGI mereka yang berhasrat mahu berkunjung ke Dataran Merdeka atau ke tempat-tempat tumpuan lain untuk melihat countdown atau pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baharu, sila batalkan kerana memang tiada sambutan berkenaan pada malam ini.
Ia susulan pada 28 Disember lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang acara sambutan ambang tahun baharu 2021 di seluruh Malaysia.
Jadi, adalah lebih baik duduk sahaja di rumah, menonton televisyen atau membuat perkara lain yang berfaedah daripada merisikokan diri dengan penularan Covid-19.
Namun, di sebalik ketiadaan sambutan tahun baharu, tetap akan ada sambutan ambang tahun baharu secara private party di kondominium mewah, banglo, rumah inap atau di hotel-hotel.
Melihat kepada kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini, malam tahun baharu adalah waktu kerja lebih masa bagi polis, penguasa agama dan pihak berkuasa yang lain untuk membanteras jenayah serta masalah sosial.
Kebiasaannya pada malam ini akan ada kes-kes tangkapan kerana mengadakan parti liar, dadah atau berkhalwat di malam ambang tahun baharu.
Ketika penularan Covid-19 yang masih belum berkesudahan, tidak takutkah mereka dengan ancaman virus maut itu?
Meraikan tahun baharu dengan menganjurkan parti liar, sudah pasti tiada penjarakkan sosial dan tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Jika tertangkap, tidakkah mereka akan rasa malu kerana sudah pasti akan mencemarkan nama baik sendiri, keluarga dan kerjaya mereka.
Kepada mereka yang tetap mahu menyambut sambutan tahun baharu cara ini pada malam ini, awas! Anda sebenarnya merisikokan diri untuk ditangkap.
Jangan hanya seronok seketika tetapi terpaksa dibawa ke lokap balai polis atas kesalahan parti liar, dadah atau dibawa ke pejabat agama kerana kes khalwat.
Jadikanlah permulaan tahun baharu 2021 sebagai tahun yang bermakna walaupun kita diuji dengan pandemik Covid-19, isu politik dan kemelesetan ekonomi.
Klik di sini untuk terus membaca