BANJIR ‘musim sejuk’ kini sedang membadai beberapa negeri dan menyebabkan pelbagai kerosakan dan kematian.
Setakat ini, sekurang-kurangnya empat orang telah menjadi korban akibat dihanyut bersama kenderaan sewaktu meredah arus deras.
Di Johor, seorang lelaki lemas apabila hanyut bersama kereta ketika cuba menyelamatkan isterinya selepas air naik mendadak.
Kemudian tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan seorang penunggang motosikal cuba meredah jalan banjir namun gagal dan menyebabkan motosikal tersebut hanyut.
Namun keadaan banjir yang teruk di Pahang sedikit terubat dengan keberangkatan Agong yang berkenan mencemar duli meredah banjir menggunakan pacuan empat roda melawat mangsa banjir pada Selasa.
Walaupun fenomena alam itu berlaku hampir setiap tahun, orang ramai tidak boleh mengambil mudah ancaman banjir.
Jangan ambil risiko meredah jalan banjir untuk meneruskan perjalanan.
Tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan kerana kekuatan arus dan kedalaman air banjir sukar untuk dijangka.
Banjir hakikatnya adalah ujian berat bagi mangsa yang terlibat. Melihat air naik sehingga mencecah bumbung rumah pun sudah berat mata memandang, apatah lagi bagi mangsa terlibat.
Menempuh banjir sewaktu wabak Covid-19 sedang meningkat juga merupakan satu lagi ujian kepada mangsa.
Sungguhpun banjir kali ini tidak sebesar bencana bah 2014, ia tetap berupaya memberi gangguan kepada kegiatan ekonomi negara.
Penduduk tempatan yang menjadikan aktiviti pertanian dan perikanan sebagai sumber pendapatan lebih-lebih lagi akan merasai kesannya.
Bencana banjir juga mendatangkan pelbagai gangguan dan tekanan fizikal, sosial dan emosi kepada mangsa. Justeru, segala bentuk bantuan mesti segera disalurkan.
Pada masa sama, langkah penyesuaian dan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir pada masa depan sangat penting bagi mengurangkan kesannya terhadap kehidupan manusia.
Kita berdoa agar musibah kali ini akan segera berakhir.
Klik di sini untuk terus membaca