PKP 2.0 nampaknya tidak sama dengan PKP 1.0 yang diumumkan pada 18 Mac 2020. Walaupun tujuannya sama iaitu melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, namun prosedur operasi standard (SOP) berbeza dan dilihat lebih longgar.
Malah, arahan tersebut juga kurang mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang pertama dahulu. Ia terbukti apabila wujud segelintir yang menentang PKP dengan alasan bimbang ekonomi negara kembali terjejas.
Selain itu, golongan tersebut juga menganggap tiada keperluan untuk melaksanakannya kerana mendakwa rakyat mula membiasakan diri dengan persekitaran Covid-19.
Perkara itu boleh dilihat dengan jelas menerusi komen dan status mereka yang bertebaran di media sosial setiap hari sebaik sahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkannya pada 13 Januari lalu.
Pada masa yang sama, kes jangkitan baharu terus meningkat setiap hari hingga mencecah ke paras tertinggi setakat ini iaitu 4,029 kes.
Susulan itu, ramai petugas barisan hadapan, terutama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia merayu agar orang ramai mematuhi SOP dan terus berada di rumah bagi mengurangkan jangkitan baharu.
Namun, mereka yang menentang PKP terus berdegil sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat yang menuntut agar arahan tersebut dilaksanakan semula setelah melihat keberkesanannya pada tahun lalu.
Tindakan mereka itu tidak ubah persis perangai bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mempersendakan kewujudan Covid-19. Namun, selepas beliau dan isterinya, Melania Trump disahkan positif wabak berkenaan, barulah Trump mengakui ancaman dan kesannya kepada negara.
Seharusnya, golongan yang menentang PKP itu mencontohi Kluster Tabligh yang pernah menggemparkan negara dan bukan ikut perangai bekas Presiden AS.
Jemaah tabligh yang dikesan menularkan wabak selepas mengikuti sebuah perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur sedikit pun tidak melawan. Sebaliknya, mereka dengar, patuh dan sabar kepada arahan kerajaan sehingga seramai 18,826 orang berjaya disaring.
Klik di sini untuk terus membaca