HARI ini genap dua minggu perisytiharan darurat di Malaysia yang dijangka berlangsung sehingga 1 Ogos depan.
Walaupun langkah darurat ini dilakukan atas faktor pandemik Covid-19 yang terus memuncak, namun sukar untuk menafikan ia juga bertujuan mengamankan politik negara. Sebelum pengumuman darurat dibuat pada 13 Januari lalu, semua orang tahu bagaimana gentingnya kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tidak ketinggalan ahli politik, baik dalam parti kerajaan mahupun pembangkang bersiap sedia dengan ‘senjata perang’ masing-masing.
Ada yang mahu mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan ada juga mahu melemahkan kerajaan.
Walaupun banyak permintaan untuk ahli politik membuat genjatan senjata, namun ternyata tidak ramai yang mengendahkannya.
Ramai ahli politik yang tidak belajar dan mengambil teladan daripada Pilihan Raya Negeri Sabah. Sejak PRN Sabah, kes Covid-19 bagaikan tidak dapat dihentikan dengan kemuncaknya melebihi angka 4,000 kes pada bulan ini.
Akhirnya bukan sedikit rakyat yang susah dan kini terpaksa melalui sekali lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Bagaimanapun, selepas dua minggu, nampaknya suhu politik negara kembali sejuk seketika. Mengetahui sidang Parlimen digantung, malah PRU15 masih jauh mungkin selepas Ogos nanti, ahli politik kembali menyimpan kuku tajam masing-masing.
Tiada lagi kedengaran mengenai ahli Parlimen melompat parti atau menarik sokongan. Pendek kata, darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong berjaya mengamankan suasana politik Malaysia buat sementara waktu.
Semoga suhu sejuk politik negara kekal sehingga kita berjaya menang melawan Covid-19.
Ini kerana dalam tempoh pandemik ini, sewajarnya menteri Kabinet, ahli Parlimen dan pemimpin memberikan fokus masa dan tenaga untuk melawan Covid-19.
Malah, pada waktu sukar inilah masa terbaik untuk wakil rakyat berkhidmat kepada rakyat. Rakyat pun mengharapkan wakil rakyat benar-benar berjiwa rakyat di kala rakyat kini sukar bernafas dek kerana pandemik Covid-19.
Klik di sini untuk terus membaca