PEMILIHAN barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijadualkan berlangsung 13 Mac depan. Biarpun hanya berbaki 37 hari menjelang kongres tersebut, ‘gelora’ kali ini tampak tenang. Setakat ini, dua individu –... Klik di sini untuk terus membaca

PEMILIHAN barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijadualkan berlangsung 13 Mac depan. Biarpun hanya berbaki 37 hari menjelang kongres tersebut, ‘gelora’ kali ini tampak tenang.

Setakat ini, dua individu – Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang mengesahkan mereka bersedia mempertahankan jawatan masing-masing.

Exco FAM yang lain pula belum memberi sebarang pengesahan mahupun apa-apa bayangan. Mungkin menunggu dua individu penting dalam FAM ‘bersuara’ terlebih dahulu, baru mereka membuka langkah.

Namun, ‘cakap-cakap’ tepi padang sudah mula kedengaran. Individu yang berminat bertanding dalam sesi pemilihan kali ini dikatakan hanya akan menghantar nama mereka pada saat-saat akhir.

Sudah tentu kelibat ahli politik sekali lagi menggamit tumpuan. Sudah ada khabar angin yang mengatakan beberapa ahli politik mahu ‘menembusi’ saf kepimpinan FAM pada pemilihan kali ini.

Begitupun, sehingga hari ini belum dapat disahkan ‘orang politik’ mana yang mahu bertanding atau jawatan apa yang mahu ditandingi. Segala-galanya masih kabur dan sekadar spekulasi semata-mata.

Jika benar ada ahli politik yang berminat ‘terjun’ dalam dunia bola sepak Malaysia, sudah tentu ia disambut dengan pelbagai reaksi. Mungkin ada yang menyambut baik, malah mungkin ada yang menolak mentah-mentah.

Bagi ahli politik yang benar-benar mempunyai misi dan visi menjulang bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi, mereka dialu-alukan. Tetapi jika sekadar mahu meraih populariti mahupun publisiti, baik lupakan sahaja.

Sebenarnya bola sepak Malaysia tidak harus dan tidak perlu lagi dibayangi dengan kelibat ahli-ahli politik. Sudah sampai masanya pentadbiran FAM diurus sepenuhnya oleh individu yang tidak terlibat dengan politik.

Tak usahlah sekadar memegang jawatan tetapi tidak memberi sebarang sumbangan. Apa lagi jawatan yang disandang itu lebih kepada satu bentuk jaminan untuk meraih kedudukan dalam karier politik.

Alangkah lebih baik, ahli-ahli politik terus menyumbang bakti dan tenaga kepada rakyat di negara ini asalkan tidak terlalu ‘bermain politik’.

Klik di sini untuk terus membaca