ISU ah long bagai tiada kesudahan, masih ramai rakyat Malaysia yang terjerat dengan pinjaman cekik darah ini.
Meskipun sudah berulang kali kisah keganasan ah long dipaparkan, namun masih tidak menjadi pengajaran kepada orang ramai.
Sukar untuk membanteras kegiatan ah long jika masih ada permintaan. Kelulusan mudah menjadi tarikan walaupun peminjam sedar mereka perlu membayar semula dengan jumlah berlipat kali ganda.
Bala juga bakal menunggu bukan sahaja diri sendiri, malah kepada keluarga jika hutang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan.
Berdasarkan rekod Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), aduan kes ah long meningkat sekali ganda disebabkan Covid-19 berbanding sebelum ini dipercayai akibat desakan hidup.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berpendapat sesetengah penjaja meminjam wang dengan ah long bukan disebabkan bantuan disediakan kerajaan tidak mencukupi, sebaliknya disebabkan kerenah birokrasi institusi perbankan untuk mendapatkan pinjaman yang disediakan itu.
Namun tidak boleh salahkan bank kerana mereka juga perlu berhati-hati untuk memberi pinjaman berdasarkan kemampuan peminjam untuk membayar balik.
Selain bank terdapat juga dakwaan penguatkuasaan pihak berkuasa lemah menjadi punca kegiatan ah long berleluasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin baru-baru ini berkata, masyarakat perlu faham kekangan undang-undang pihak polis terhadap usaha membanteras ah long.
Menurut beliau, walaupun polis sudah banyak kali menangkap sindiket ah long, namun kekurangan bukti menyebabkan suspek sukar untuk didakwa di mahkamah.
Apa pun dakwaan ia mungkin salah satu daripada punca. Namun pokoknya di sini ialah orang ramai sendiri yang sepatutnya mengelak meminjam daripada ah long.
Peminjam perlu ingat duit ah long adalah pinjaman, bukan wang bantuan.
Walau apa cara sekali pun tetap hutang kena jelaskan!
Klik di sini untuk terus membaca