PERISTIWA tanah kubur dijadikan tempat bertani dan menternak di Sungai Sekamat, Kajang, Selangor mencerminkan isu tapak perkuburan Islam di negara ini belum ditangani sepenuhnya.
Ketika tanah perkuburan di bandar semakin hari semakin sempit akibat pertambahan penduduk, langkah sebuah pusat jagaan orang tua bermastautin di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat boleh merumitkan keadaan pada kemudian hari.
Lebih-lebih lagi jika aktiviti menternak kambing, menanam pokok buah-buahan dan membina bangunan kekal di tapak perkuburan sekarang terus bertambah dari hari ke hari.
Namun, kemelut itu harus diselesaikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana niat murni pusat jagaan itu juga tidak boleh dinafikan.
Pada masa sama, JAIS harus menangani isu pengurusan dan kekurangan tapak kubur di bandar pada masa depan dengan berkesan.
Di Selangor, pemaju yang membangunkan kawasan seluas 100 hektar ke atas untuk projek perumahan atau pembangunan bercampur diwajibkan menyediakan tapak perkuburan orang Islam dan bukan Islam.
Pemaju yang tidak menyediakan tapak kubur diwajibkan menyumbang bayaran kepada Tabung Amanah Perkuburan bagi membolehkan kerajaan negeri menyediakan tapak perkuburan di lokasi bersesuaian.
Bagaimanapun, perkara itu bukanlah jaminan penyelesaian masalah ruang kubur di bandar.
Justeru, sudah tiba masanya semua tanah perkuburan Islam khususnya di bandar seluruh Malaysia diurus secara profesional dan sistematik.
Selain menjadikan kawasan perkuburan seperti sebuah taman, amatlah penting setiap inci keluasan tanahnya tidak dibazirkan.
Ini kerana terdapat umat Islam yang menyimen bahagian atas kubur dengan saiz yang besar menyebabkan jarak di antara sebuah kubur dengan kubur yang lain semakin melebar.
Di bandar utama seperti Lembah Klang, pelaksanaan kubur bertingkat seperti di Mesir dan Singapura juga seharusnya sudah boleh dimulakan, apatah lagi ia difatwakan harus oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan sejak tahun 2010.
Pendek kata, isu ini tidak boleh dipandang sepi kerana ia sebahagian maslahah orang yang masih hidup.
Klik di sini untuk terus membaca