PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengenai inisiatif MyDigital yang merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara perlu disambut baik oleh semua rakyat Malaysia bermula daripada pimpinan atasan hinggalah kepada... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengenai inisiatif MyDigital yang merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara perlu disambut baik oleh semua rakyat Malaysia bermula daripada pimpinan atasan hinggalah kepada golongan bawahan.

Ia bakal menyumbang sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan berupaya menyediakan 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

Ia juga pemangkin kepada pelaburan baharu dalam sektor digital bernilai RM70 bilion dari dalam dan luar negeri yang sudah semestinya akan memberi manfaat kepada pemain industri yang terlibat.

Seperti yang dinyatakan oleh Muhyiddin, MyDigital menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan sehingga tahun 2030.

Sehingga tahun tersebut, teraju kepimpinan sudah tentu akan berubah dan apa akan jadi dengan perancangan melibatkan MyDigital?

Apa yang diharapkan oleh kebanyakan rakyat, segala dasar dirancang ketika ini yang bertujuan untuk membantu rakyat dan kemajuan negara perlu diteruskan tidak kira siapa pun pemimpinnya.

Rakyat sudah bosan dengan tabiat lama pemimpin yang setiap kali mendapat tampuk kuasa akan mengubah segala perancangan pemimpin terdahulu atas dasar berlainan parti.

Jika tabiat lama masih diteruskan, sampai bila pun Malaysia akan terus ketinggalan dengan negara-negara jiran tetangga dalam kemajuan terutama dalam sektor digital.

Semua harus berubah kerana sektor digital akan menjadi keperluan lebih penting pada masa akan datang.

Seperti yang dialami ketika pandemik Covid-19 apabila semua aktiviti terbatas, infrastruktur digital yang mantap menjadi penyelamat kepada kelancaran kehidupan kita.

Bahkan, kita dapat melihat kawasan dan sektor yang lemah dalam capaian internet tidak dapat bertahan dalam tempoh pandemik ini.

Oleh itu, semua pihak perlu dengan sedaya upaya memastikan MyDigital berjaya direalisasikan supaya pada masa hadapan, tiada yang tercicir dalam arus teknologi.

Klik di sini untuk terus membaca