PENDERITAAN hidup kanak-kanak berusia 11 tahun, Nurul Farisha Mohd Ridzuan yang menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sesungguhnya perlu mendapat perhatian pihak berkuasa dan masyarakat.
Setelah ketiadaan ayah dan ibunya akibat dihukum penjara kerana penyalahgunaan dadah, anak kedua daripada lima beradik itu terpaksa menjaga tiga adiknya, Muhammad Faisal, 6, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, dan Muhammad Faiz Farhan,1, dengan dibantu abangnya, Muhammad Faris Abdullah,12.
Nasib yang dialami lima adik-beradik yang tinggal di Kampung Binjal Pulau, Kubang Terap, Pasir Mas, Kelantan itu bukan sahaja hidup tanpa kasih sayang, malahan mereka gagal menikmati kemudahan serta pendidikan sempurna.
Ketika kerajaan berusaha memastikan rakyat tidak tercicir daripada arus kemajuan, kita amat terkilan masih ada keluarga yang hidup dalam serba kekurangan.
Lima beradik itu hidup dalam keadaan serba kekurangan apatah lagi setiap hari Nurul Farisha perlu menyediakan makanan dengan menggunakan dapur kayu.
Malahan, Nurul Farisha dan abangnya sudah tidak meneruskan persekolahan mereka sejak dua tahun yang lalu setelah menetap di Pasir Mas bersama datuk dan nenek mereka.
Buat masa ini, nenek mereka menyara hidup mereka dengan keluar menjual minyak urut manakala datuk mereka pula sakit asma kronik.
Begitu juga dengan tiga adik mereka yang masih kecil itu yang tentunya tidak akan berpeluang memasuki sekolah seperti kanak-kanak lain jika tiada bantuan diberikan kepada mereka.
Bagaimanakah masa depan mereka apabila tidak mengikuti pendidikan yang formal? Jabatan Pendidikan perlu mengambil langkah segera agar mereka boleh kembali menimba pelajaran.
Terkini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan bantuan RM900 sebulan dalam waktu terdekat kepada keluarga itu.
JKM juga telah menyerahkan tabung bantuan segera sebanyak RM300 kepada datuk dan nenek mereka untuk perbelanjaan harian.
Diharapkan lima beradik itu akan mampu meneruskan kehidupan lebih selesa.
Jangan membiarkan hidup mereka terus sengsara dan merempat menjadi gelandangan suatu hari kelak.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengorbanan budak 11 tahun jaga adik-beradik
JKM mohon perintah mahkamah hak penjagaan lima beradik
Klik di sini untuk terus membaca