HARI ini secara rasminya Malaysia akan menyertai 92 negara lain di peringkat antarabangsa yang sudah memulakan kempen vaksinasi terbesar dalam sejarah dunia.
Selepas kejayaan penghantaran vaksin dari Belgium pada Ahad lalu, Malaysia kini memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dua hari lebih awal daripada jadual asal.
Di sebalik kegusaran sesetengah pihak mengenai kesan sampingan vaksin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tanpa ragu-ragu menawarkan diri untuk menjadi individu pertama mendapat suntikan vaksin hari ini.
Menyertai dua pemimpin negara itu, lebih 271,802 frontliners daripada pelbagai bidang yang sudah berdaftar untuk menjadi kelompok individu dalam fasa pertama menerima suntikan.
Kempen vaksinasi itu sangat penting untuk menamatkan derita lebih setahun penduduk dunia akibat Covid-19, tidak terkecuali Malaysia. Program vaksin itu juga adalah harapan terbaik kita menang dalam perang melawan pandemik itu.
Bayangkan dalam tempoh setahun, seramai 2.47 juta umat manusia maut angkara Covid-19. Di Malaysia sahaja, setakat Selasa seramai 1,076 orang meninggal dunia.
Itu belum dikira sektor ekonomi, pelancongan, perhotelan dan bermacam-macam lagi yang telah bungkus dan tewas kerana virus maut itu.
Pendek kata, Malaysia tidak mampu melalui sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kerugian RM2.4 bilion setiap hari.
Selepas lebih setahun frontliners berperang, kini tiba giliran kita pula memberanikan diri untuk turut bersama-sama menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ketika sesetengah orang mungkin takut dengan jarum, bimbang dengan kesan sampingan atau lebih parah menjadi kumpulan antivaksin, tetapi kali ini semua itu perlu diketepikan.
Kita tidak boleh kalah dengan Covid-19 lagi! Rakyat Malaysia perlu bersama-sama mendapatkan vaksin demi memastikan misi 80 peratus komuniti di Malaysia disuntik vaksin tercapai.
Klik di sini untuk terus membaca