KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik gelaran Tan Sri dan Datuk.
Abdul Hamid dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan mahu individu terlibat dihadapkan ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal.
Rakyat Malaysia berharap itu bukan sekadar janji kosong pihak PDRM kerana yang ditangkap dan dikenakan hukuman sebelum ini hanyalah golongan bawahan dan pengedar kecil-kecilan yang menjadi kambing hitam, sedangkan si jerung masih lepas bebas.
Pada 2019, polis dilaporkan sedang memburu seorang raja dadah yang mempunyai hubungan dengan kartel dadah di Colombia serta menjadikan Malaysia sebagai transit untuk menyeludup kokain.
Ahli perniagaan bergelar jutawan itu dipercayai hidup mewah dengan melabur saham, perniagaan hartanah dan pembinaan hotel menggunakan wang hasil jualan dadah. Sehingga kini masih tidak diketahui apakah individu bekenaan sudah ditangkap kerana telah melarikan diri ke negara jiran.
Ini sangat membimbangkan kerana Colombia terkenal dengan Pablo Escobar sebagai raja dadah dan Mexico pula memiliki El Chapo Guzman, Malaysia pula kini mempunyai raja dadah tersendiri meskipun polis masih belum mendedahkan identiti individu terbabit.
Hasil rampasan aset raja dadah itu hampir mencecah RM400 juta, selain polis berjaya merampas 12 tan kokain yang dicampur dengan 60 tan arang, yang menjadi rampasan terbesar dadah dalam negara.
Pada 2020, polis berjaya menumpaskan empat kartel dadah antarabangsa dalam serbuan berasingan di Kelantan, Perak dan Perlis dengan nilai rampasan dadah lebih RM65 juta.
Masalah dadah semakin membesar dalam negara kerana ada individu berprofil tinggi yang menjadi dalang utama. Mereka ini licik menutupi perniagaan haram dengan berselindung di sebalik perniagaan halal. Malah, mereka bebas bergerak menggunakan kuasa dan wang di sebalik imej ‘orang baik-baik’.
Klik di sini untuk terus membaca