HAMPIR sebulan, kelibat jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mendapat liputan meluas. Baik media tempatan mahupun antarabangsa, nama Azizulhasni kembali menghiasi media cetak, elektronik mahupun laman sosial. Kejayaan Azizulhasni... Klik di sini untuk terus membaca

HAMPIR sebulan, kelibat jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mendapat liputan meluas. Baik media tempatan mahupun antarabangsa, nama Azizulhasni kembali menghiasi media cetak, elektronik mahupun laman sosial.

Kejayaan Azizulhasni atau lebih terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman menghuni ranking No. 1 dunia acara pecut individu ternyata telah menggamit tumpuan seluruh peminat sukan tanah air.

Daripada individu biasa sehinggalah orang kenamaan, semuanya gembira mendengar perkhabaran itu. Malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni.

Bagi mereka, kejayaan yang dicapai anak kelahiran Dungun, Terengganu itu sesuatu yang cukup membanggakan Malaysia. Apatah lagi, Azizulhasni terpaksa merintis laluan berliku sebelum mendaki puncak No. 1 dunia.

Kini misi lebih penting bakal digalas Azizulhasni – bawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai depan. Bukan sahaja peminat sukan, malah jutaan rakyat Malaysia menantikan emas sulung Olimpik.

Tanpa kelibat jagoan badminton, Datuk Lee Chong Wei yang sudah bersara, Azizulhasni dicanang-canang sebagai menjadi sandaran terbaik Malaysia merangkul emas. Tiga penampilan di pentas Olimpik sebelum ini menjadi pengalaman berguna buatnya.

Jadikan kejayaan menduduki tangga pertama acara pecut individu itu sebagai pembakar semangat dalam memburu gemilang di pentas Olimpik.

Bukan sesuatu yang mustahil Azizulhasni menyambar kilauan emas di bumi Tokyo nanti.

Malah, kejayaan meraih pingat gangsa acara kegemarannya, keirin pada Sukan Olimpik Rio 2016 bakal menjadi azimat terbaik Azizulhasni mencipta sejarah baharu di Velodrom Trek Izu nanti.

Azizulhasni kini mempunyai masa kira-kira enam bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi temasya Olimpik Tokyo 2020 yang terpaksa ditangguhkan tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Dengan tempoh masa yang ada, mental dan fizikal Azizulhasni seharusnya sudah berada dalam mood siap siaga. Ayuh anak Malaysia, buktikan anda mampu menawan pentas Olimpik kali ini.

Klik di sini untuk terus membaca