SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng dalam nada yang marah dan menyindir pada Ahad menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen dipilih oleh pengundi. Oleh yang demikian mereka tidak harus dijual beli bagaikan daging lembu. Amat jelas sekali beliau... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng dalam nada yang marah dan menyindir pada Ahad menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen dipilih oleh pengundi.

Oleh yang demikian mereka tidak harus dijual beli bagaikan daging lembu.

Amat jelas sekali beliau sedang merujuk kepada insiden ahli-ahli Yang Berhormat (YB) yang melompat parti yang sedang ligat berlaku sekarang.

Beliau juga dengan tegas mengulangi kenyataannya bahawa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi serta mandat rakyat.

Beliau bertanya; "Adakah politik macam ini yang kita mahu?"

Untuk makluman Guan Eng, jawapan rakyat jelata ialah; "Tidak!Tidak!Tidak! Bukan ini yang kami mahu.”Masalah dihadapi oleh rakyat jelata ialah, YB seperti Guan Eng, bertanya soalan yang sudah jelas dan nyata.

Malah jawapan-jawapan kepada persoalan yang beliau sendiri timbulkan seharusnya dijawab oleh dirinya sendiri.

Orang seperti Guan Eng dan YB-YB yang menduduki kerusi empuk Dewan Rakyat yang sepatutnya berusaha dan berlaku adil ke atas diri mereka sendiri dengan meminda perlembagaan dan memperkenalkan undang-undang antilompat parti.

Kami rakyat jelata yang mundar-mandir di kaki lima tidak berupaya berbuat demikian kerana kami bukan ahli-ahli yang berhormat. Kami telah memilih orang seperti Guan Eng untuk membuat kerja ini kerana mereka adalah penggubal dan pembuat undang-undang. Bukan kami, rakyat jelata.

Apa yang Guan Eng dan wakil-wakil rakyat yang lain seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari PKR dan lain-lain lakukan sejak beberapa hari lalu adalah ibarat menyalak bukit.

Salaklah macamanapun, bukit tidak akan runtuh selagi YB-YB sekalian tidak ada iltizam politik untuk meminda perlembagaan menghalang rakan-rakan YB daripada melompat parti.

Buat masa ini, apa yang mereka lakukan adalah sah di sisi undang-undang yang YB-YB semua luluskan di dewan yang mulia itu. Jadi kenapa menyalak ke atas sesuatu yang sah di sisi undang-undang.

Samalah juga dengan pembentukan apa yang YB Guan Eng sebut sebagai kerajaan pintu belakang.

Kerajaan itu juga dibentuk menerusi undang-undang dan perlembagaan yang dibuat di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Jadi sekali lagi kenapa menyalak kepada sesuatu yang sah di sisi undang-undang?

Jika merasakan ia tidak adil, maka berusahalah dan beriltizamlah untuk meminda semua undang-undang ini di dalam dewan.

Jika undang-undang menyatakan ia memerlukan majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan maka tunggulah sehingga saat itu tiba untuk berbuat demikian.

Dan sehingga saat itu tiba, YB-YB semua sewajarnya berdiam diri daripada bertindak menyalak bukit kerana itu adalah tindakan yang sia-sia.

Sebaliknya telinga sakit, bukit tidak juga runtuh!

Jika undang-undang menyatakan ia memerlukan majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan maka tunggulah sehingga saat itu tiba untuk berbuat demikian.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca