PENDEDAHAN Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini mengenai wujudnya gerakan dalaman yang mahu menjatuhkan beliau sebagai Ketua Polis Negara amat memeranjatkan kita.
Ketegasan Abdul Hamid mentadbir Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini rupa-rupanya tidak disukai oleh sesetengah pegawai polis sendiri.
Sebenarnya, isu anak buah tidak puas hati terhadap kepimpinan ketuanya adalah lumrah dalam mana-mana organisasi di seluruh dunia.
Dalam isu ini, Abdul Hamid kurang disenangi kerana beliau mempunyai cara tersendiri dan ketegasan beliau dalam menyelesaikan sesuatu isu. Ini termasuklah pendedahan beliau mengenai 34 pegawai penguat kuasa termasuk polis sendiri yang dikaitkan dengan jenayah Datuk Seri Nicky Liow.
Tindakan berani beliau itu menyebabkan sesetengah orang panas punggung. Jadi tidak hairanlah ada gerakan dalaman yang ingin menjatuhkan beliau.
Kita tidak mahu menyentuh lebih lanjut tentang gerakan dalaman yang dimaksudkan oleh Abdul Hamid tetapi apa yang dapat kita pelajari adalah untuk menjadi pemimpin, kita harus bersedia menerima kritikan, kecaman termasuk gerakan untuk menjatuhkan dalam organisasi yang dipimpin.
Seorang ketua bukan sahaja bertindak mengarahkan itu dan ini tetapi perlu bekerjasama dengan orang bawahan apatah lagi jika ada ahli jawatankuasa yang dilantik.
Apabila kerjasama dalam satu pasukan dapat dibentuk, akhirnya apa jua hasrat pemimpin itu akan dapat diterima baik. Pelaksanaan untuk menjayakan misi juga menjadi licin dan lancar.
Kita tidak perlu menjadi pemimpin yang popular atau terlihat hebat di mata anak buah. Cukuplah kita menjadi seorang yang boleh memimpin, bertolak ansur, bertimbang rasa dan memahami orang di sekeliling kita.
Ciri-ciri itu secara semula jadinya akan menjadikan diri pemimpin itu hebat dan dihormati.
Berbalik kepada isu Abdul Hamid tadi, sebagai rakyat Malaysia kita percaya gaya yang cuba diterapkan dalam kepimpinan beliau adalah demi kebaikan PDRM. Prinsip dan keberanian beliau harus dipuji.
Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Klik di sini untuk terus membaca