MINGGU lalu, negara digemparkan dengan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai pegawainya yang membocorkan maklumat dalam usaha polis memburu Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, negara digemparkan dengan pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai pegawainya yang membocorkan maklumat dalam usaha polis memburu Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang terlibat sindiket jenayah terancang.

Abdul Hamid memberitahu, terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa termasuk polis terlibat dengan sindiket terbabit yang dipercayai bergaul, menjadi ahli, membantu dan menerima suapan.

Hasil soal siasat didapati kebocoran maklumat dan akibat kebocoran itu, Nicky berjaya melarikan diri serta memindahkan sejumlah besar wang yang dibawa keluar dari premis.

Semua pihak tentunya mengutuk sekerasnya perbuatan jenayah yang dilakukan Geng Nicky itu yang terbabit dalam pelbagai jenayah seperti Macau Scam, peras ugut, pengedaran dadah, ah long dan pengubahan wang haram.

Rakyat Malaysia berasa amat terkejut apabila dua individu berpangkat Datuk Seri termasuk adik kepada Nicky dan enam berpangkat Datuk antara 68 individu yang ditahan kerana didakwa terbabit dalam geng berkenaan.

Lebih malang lagi apabila ada 34 petualang sanggup bersongkol dengan penjenayah yang berstatus ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ itu.

Kita berharap pihak polis melakukan tindakan segera dengan mengheret anggota pengawai penguat kuasa terbabit ke muka pengadilan demi memulihkan imej agensi masing-masing.

Pujian harus diberikan kepada pihak polis kerana berjaya melumpuhkan satu sindiket jenayah yang boleh dianggap terbesar di negara kita.

Antaranya, sebanyak 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 telah dibekukan dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759 turut dirampas.

Perbuatan rasuah dalam kalangan anggota polis perlu dibanteras secepat mungkin, lebih-lebih lagi mereka yang menyalah guna kuasa dengan melindungi penjenayah berprofail tinggi.

Penjenayah bahaya seperti Nicky tidak boleh dibiarkan bebas dan bermaharajalela selama-lamanya. Kita percaya dengan keupayaan polis nescaya ‘penjenayah VIP’ yang baharu berusia 33 tahun itu akan terperangkap dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Klik di sini untuk terus membaca