PUTRAJAYA - Malaysia didapati menjadi semakin mengecil ekoran masalah hakisan pantai yang semakin serius.
Berdasarkan Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) pada tahun 2015 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kira-kira 15 peratus atau 1,347.6 kilometer (km) daripada panjang keseluruhan 8,840 km garis pantai negara telah diancam hakisan.
Menurut kajian itu, hasil perbandingan imej satelit yang diambil pada tahun 2004 dan tahun 2014, didapati jumlah kehilangan pantai akibat masalah hakisan adalah lebih kurang 12,486 hektar.
Ini menjadikan purata kehilangan pantai dalam masa setahun adalah sebanyak lebih kurang 1,249 hektar.
Data tersebut adalah perbandingan antara tahun 1985 dan 2015.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, aktiviti pembangunan tidak terkawal dan pengambilan pasir secara berlebihan di tepi pantai menjadi punca utama berlakunya hakisan di beberapa lokasi di seluruh negara.
Beliau berkata, keadaan bertambah serius apabila berlakunya perubahan fenomena alam seperti pemanasan global dan peningkatan paras air laut.
"Pantai bila berlaku hakisan mesti ada puncanya. Yang pertama, kita kena kenal pasti apakah punca yang menyebabkan berlakunya hakisan itu sehingga ia menjadi teruk.
"Justeru, bila terlalu banyak sangat pengambilan pasir, melebihi had sepatutnya maka berlakulah hakisan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Pada Februari lalu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 10 pantai di Pahang mengalami hakisan serius pada kadar antara satu hingga empat meter.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, perkara itu diketahui pihaknya hasil kajian hakisan pantai yang dijalankan JPS beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya telah melaksanakan kajian secara menyeluruh di kesemua kawasan pantai di seluruh Malaysia.
Jelasnya, kajian mengenai pembinaan sebuah benteng di tepi pantai perlu dilakukan terlebih dahulu supaya ia tahan dalam jangka masa panjang.
"Kalau nak buat benteng, biar buat betul-betul. Ini kerana, jika kita bina benteng anggaran sehingga 300 meter sahaja, ia akan menghakis pula kawasan yang tiada benteng. Jadi, penting kita buat kajian terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, dengan membekalkan pasir, ia mampu menyelamatkan semula kawasan yang mengalami hakisan tersebut.
"Kita tak perlu letak semua. Kita hanya perlu letak di satu kawasan yang mana ombak akan meratakan semula hakisan ini dengan pasir.
"Kita boleh lihat apa yang berlaku di pantai Port Dickson, yang mana hakisan berlaku sehingga ke bahu jalan. Apa yang kita buat, kita bekalkan pasir,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca