TAHNIAH kepada Datuk Seri Azam Baki dan anak-anak buahnya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Cerita tali barut dan pemakan rasuah dalam kerajaan yang memonopoli tender-tender kementerian di Putrajaya, hakikatnya bukanlah... Klik di sini untuk terus membaca

TAHNIAH kepada Datuk Seri Azam Baki dan anak-anak buahnya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Cerita tali barut dan pemakan rasuah dalam kerajaan yang memonopoli tender-tender kementerian di Putrajaya, hakikatnya bukanlah sesuatu yang baru.

Ramai rakyat yang mengetahui mengenai aktiviti ‘gelap’ pelbagai pihak baik orang politik, konconya, orang bisnes malah kakitangan kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Mereka menjadikan projek-projek kerajaan sebagai sasaran mudah untuk mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.

Daripada menggunakan kabel sehinggalah mewujudkan syarikat sendiri tetapi menggunakan nama isteri, anak dan saudara mara. Namun, modus operandi mereka sukar untuk dibongkar disebabkan oleh banyak sebab.

Antaranya termasuklah kekurangan bukti, campur tangan pihak atasan, gerakan yang sangat licik, ‘tangan’ pihak berkuasa terikat dan bermacam-macam lagi.

Namun Azam dan pasukannya pada Isnin memastikan cerita bertahun-tahun mengenai monopoli tender kerajaan tidak hanya sekadar menjadi mainan di mulut rakyat.

SPRM berjaya melumpuhkan satu kartel yang berstatus ‘jerung besar’ apabila nilai projek dimonopoli mereka mencecah RM3.8 bilion.

Bayangkan betapa kaya rayanya kartel itu kerana jumlah RM3.8 bilion hampir menyamai pembinaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 sebanyak RM4 bilion dan lebih separuh daripada kos pembinaan Menara Berkembar Petronas yang mencecah RM6.6 bilion.

Demikianlah dahsyatnya bagaimana budaya rasuah dan salah guna kuasa sudah membarah dalam banyak kementerian. Namun, pembongkaran kegiatan kartel tender kerajaan itu juga membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem tender kerajaan selama ini.

Selain isu pemberian tender tertutup, sistem tender kita dilihat terlalu mudah ‘bolos’ dan tiada pemantauan ketat sehingga dijadikan lubuk duit oleh kartel penjawat awam yang tidak bertanggungjawab

SPRM seharusnya terus tegas untuk membongkar lebih banyak kartel bukan sahaja di Putrajaya malah agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan lain.

Klik di sini untuk terus membaca