BARU-BARU ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menasihatkan golongan siswazah yang bergaji rendah perlu bersyukur disebabkan keadaan kemelesetan ekonomi sekarang.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan gaji permulaan siswazah akan lebih tinggi menjelang pertengahan tahun ini berdasarkan ekonomi dilihat semakin pulih dalam tiga ke empat bulan akan datang.
Akibat pandemik Covid-19 yang sudah berlarutan lebih setahun, nampaknya semakin sukar bagi golongan pekerja memperoleh gaji yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi siswazah yang ingin mencari pekerjaan.
Dengan keadaan yang tidak menentu ini, golongan siswazah biarpun sudah berjaya memperoleh sekeping ijazah, ia masih belum menjamin diberikan pekerjaan, apatah lagi memperoleh gaji yang tinggi.
Kerajaan sememangnya ingin memastikan rakyat menikmati upah gaji yang lebih tinggi. Bagaimanapun, pada hakikatnya, berpandukan pasaran pekerjaan di negara kita, gaji permulaan siswazah pada hari ini tidak jauh beza berbanding 10 tahun lepas.
Malahan Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin mengakui majoriti siswazah memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas hanya menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 pada tahun 2019.
Apakah dengan gaji RM1,500 sebulan boleh menampung kos hidup yang semakin tinggi, lebih-lebih lagi tinggal di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Johor Bahru?
Maka tidak hairanlah ramai siswazah sanggup melakukan kerja yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan biarpun tidak bersesuaian dengan pencapaian akademik yang mereka ada.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak ketinggalan memberi jaminan pihak kerajaan akan menambahkan bilangan pekerjaan siswazah dan kadar upah apabila ekonomi negara kembali stabil.
Segalanya hanya jaminan daripada kerajaan. Yang pasti, impian untuk golongan siswazah menikmati kadar upah lebih lumayan dalam tempoh terdekat ini masih sukar menjadi kenyataan.
Klik di sini untuk terus membaca