JIKA kita mundar-mandir di kaki lima di Batu Pahat, kita tidak akan terlepas mi racun dan asam pedas - dua masakan ikonik yang sinonim dengan nama bandar ini dan mempopularkannya ke seantero negara. Tetapi kini kita boleh tambah satu lagi... Klik di sini untuk terus membaca

JIKA kita mundar-mandir di kaki lima di Batu Pahat, kita tidak akan terlepas mi racun dan asam pedas - dua masakan ikonik yang sinonim dengan nama bandar ini dan mempopularkannya ke seantero negara.

Tetapi kini kita boleh tambah satu lagi daya tarikan popular Batu Pahat yang ketiga iaitu SMK Dato’ Bentara Luar.

Sekolah menengah kebangsaan ini bagaimanapun menjadi popular atas sebab yang tidak sepatutnya.

SMK Dato’ Bentara Luar mencetuskan kontroversi apabila membahagikan kegiatan sukan berdasarkan kaum.

Dalam satu dokumen yang disediakan oleh pihak panitia sekolah, penglibatan murid dalam kegiatan sukan dibahagikan sepertimana berikut;

1. Bola dan sepak takraw untuk murid lelaki Melayu sahaja;

2. Bola jaring untuk murid perempuan Melayu sahaja;

3. Bola keranjang dan ping pong untuk murid lelaki dan perempuan Cina sahaja;

4. Hoki untuk pelajar yang tinggal dalam asrama sahaja dan

5. Bola baling, catur, petanque, bowling, bola tampar, badminton terbuka untuk semua.

Bila diperhatikan, sukar untuk kita fahami apakah justifikasi di sebalik keputusan membahagi-bahagikan kategori permainan sukan itu mengikut kaum. Sekali imbas ia kelihatan dibahagi-bahagikan seperti mengikut kekuatan dan minat sesuatu bangsa itu ke atas sukan-sukan berkenaan.

Macam sepak takraw, tidak ramai pemain selain daripada bangsa Melayu yang meminati sukan tersebut.

Tetapi dari satu sudut pandang yang lain, oleh kerana ia hanya popular dalam kalangan masyarakat Melayu sahajalah maka pihak sekolah sepatutnya menggalakkan murid bukan Melayu supaya menyertai sukan ini.

Bukankah sekolah adalah tempat untuk mendidik?

Bagaimana pula dengan bola sepak? Ia diminati oleh semua bangsa. Jadi bagaimana hendak menjustifikasikan bola sepak hanya untuk kaum Melayu sahaja.

Adakah kerana di Batu Pahat, hanya bangsa Melayu sahaja yang bermain bola sepak? Jika benar, itu akan kedengaran seperti sedikit kelakar.

Tidak mungkin guru-guru di SMK Dato’ Bentara Luar yang terlibat dalam merangka pelan pembangunan sukan sekolah mereka tidak terfikir yang cadangan tersebut boleh mencetuskan kontroversi?

Adakah tidak terdetik walaupun sedikit firasat yang tindakan tersebut boleh mencetuskan kontroversi walaupun berniat baik dan ada sebab yang kuat untuk berbuat demikian. Apatah lagi ini adalah sekolah awam dan bukannya sebuah sekolah swasta.

Sensitif

Membahagi-bahagikan aktiviti kokurikulum atau sukan mengikut klasifikasi perkauman adalah sesuatu yang sangat-sangat sensitif.

Ia tidak sepatutnya berada di dalam fikiran guru-guru kita pun. Ini kerana, sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua anak bangsa.

Ia bukan sekolah jenis kebangsaan yang dibina atas paksi untuk mempertahankan budaya atau pendidikan sesuatu bangsa atau kaum.

Malah, kita tidak pernah dengar pula pembahagian mengikut klasifikasi bangsa dalam apa jua aktiviti dilakukan di sekolah jenis kebangsaan.

Jadi, apa sebenarnya yang bermain di fikiran guru-guru SMK Dato’ Bentara Luar ketika mereka merangka program atau aktiviti untuk murid.

Satu Malaysia rasanya ingin mengetahui sebabnya. Tetapi Pengetua SMK Dato’ Bentara Luar sudah pun memohon maaf secara terbuka di atas insiden yang tidak sepatutnya berlaku ini.

Pengetua Abdul Razak Hamid menyatakan permohonan maaf di Facebook sekolah tersebut dan menegaskan polisi sukan itu bukanlah sesuatu yang dibuat dengan sengaja.

Terlepas pandang dan tidak teliti adalah di antara perkataan yang digunakan. Ada laporan media yang memetik pengetua berkenaan sebagai berkata, mereka membuat keputusan untuk membahagikan penglibatan murid dalam sukan mengikut kaum kerana kurangnya penyertaan murid daripada kalangan kaum berkenaan dalam sukan-sukan yang disebut itu.

Jika sungguh begitulah situasinya adalah sukar untuk kita memahami kenapa murid dalam kalangan kaum Melayu tidak berminat dalam sukan bola sepak dan takraw sehingga perlu ‘memaksa’ mereka menyertai sukan tersebut.

Walau apa sekali pun alasan yang diberikan, episod ini memberi pengajaran yang baik untuk semua.

Kita tidak mahu menidakkan yang mungkin sekolah berkenaan berniat baik dan mahu melihatkan kaum-kaum tertentu dalam sukan sekolah kerana kurang minat dan sebagainya.

Tetapi oleh kerana cara pelaksanaannya dibuat tanpa mengambil kira kesan akibat daripada arahan tersebut dan kemudian terdedah kepada tafsiran yang negatif maka inilah yang kita perolehi.

Sementara kita bersimpati dengan apa yang telah terjadi kepada SMK Dato’ Bentara Luar ini, kita juga berharap yang ia tidak akan berulang di sekolah-sekolah kebangsaan yang lain di seluruh negara.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca