NEELOFA akhirnya dikenakan kompaun selepas sebulan selebriti itu melangsungkan majlis perkahwinan yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada 27 Mac lalu.
Bagaimanapun, denda RM60,000 dikeluarkan kerajaan kepada Neelofa dan keluarganya telah mengundang kritikan, juga kecaman.
Selain lewat bertindak, orang ramai mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengenakan ‘kompaun dua darjat’ setelah seorang peniaga burger didenda RM50,000 dengan serta-merta kerana berniaga lebih masa.
Usahawan terkenal seperti Neelofa tentulah tiada masalah untuk membayar kompaun itu pada bila-bila masa berbanding peniaga burger tadi yang mungkin terpaksa bekerja sepanjang tahun bagi mengumpul wang sebanyak itu.
Mujurlah, selepas kontroversi berhubung kompaun RM50,000 itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan tampil menjelaskan denda maksimum bagi kesalahan berniaga melebihi had masa cuma RM10,000.
Keputusan kerajaan menaikkan denda dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat di bawah pindaan darurat Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pada Februari lalu tidak pernah sunyi daripada kontroversi.
Ia susulan beberapa menteri dan timbalan menteri didakwa melanggar SOP penjarakan fizikal dan hanya dikenakan tindakan selepas gambar mereka tersebar di media sosial.
Keadaan bertambah buruk apabila pelaksanaan kompaun oleh penguat kuasa tidak selaras, cacamarba bahkan dalam segelintir kes dilihat tidak adil kepada orang yang dikompaun.
Perkara ini patut diperbetulkan dan diselaraskan oleh kerajaan.
Kita memahami hasrat kerajaan mengenakan denda tersebut adalah sebagai pengajaran, jauh sekali daripada menganiaya rakyat.
Namun, pendekatan menghukum semata tidak akan berkesan, sebaliknya sekadar menambah derita kumpulan berpendapatan rendah. Lebih penting lagi penguatkuasaan undang-undang yang adil dan saksama hendaklah dilaksanakan, dan bukannya amalan dua darjat antara menteri, selebriti dan rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca