TINDAKAN Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk duduk berunding dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memperkukuh lagi rangka perlindungan sosial kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), bukan sahaja tepat pada masanya malah membuka lembaran baharu kepada mereka yang bekerja sendiri.
Ia membuka harapan kepada OBS bahawa kebajikan mereka dijaga dan diberi perlindungan yang sewajarnya dan turut menggalak mereka untuk melindungi diri sendiri dengan mencarum bersama Perkeso.
Perkeso telah memaklumkan kepada Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini, terdapat peningkatan positif dalam jumlah OBS, termasuk pekerja GIG yang mendapat perlindungan sosial daripada Perkeso.
GIG adalah pasaran yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu mengajikan pekerja sepenuh masa yang berkemampuan untuk bekerja secara fleksibel tanpa perlu bekerja secara rutin.
Bilangan OBS aktif yang mendaftar dan mencarum dengan Perkeso telah bertambah daripada 2,338 individu pada tahun 2017 kepada lebih 71,000 pada tahun 2019.
Pada tahun 2020, jumlah ini meningkat kepada lebih 80,000 dan setakat ini, bilangan OBS aktif telah melonjak kepada lebih 142,000 individu.
Lonjakan ini adalah hasil pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting dimainkan mereka yang bekerja sendiri termasuk pekerja GIG, terutamanya ketika mendepani pandemik Covid-19.
Seperkara lagi yang harus diberi perhatian sewajarnya ialah inisiatif Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan [Akta 800] yang antara lain akan turut memberikan mereka perlindungan apabila berlaku kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan akibat daripada kejutan ekonomi, bencana alam dan lain-lain.
Kita telah menyaksikan betapa beribu pekerja kehilangan sumber pendapatan tetap apabila syarikat dan majikan terpaksa gulung tikar akibat Covid-19.
Setidak-tidaknya skim insurans pekerja yang memberi perlindungan ke atas mangsa yang kehilangan sumber pendapatan dapat memberi perlindungan, sementara hendak memperolehi peluang pekerjaan baharu.
Menurut Perkeso, OBS yang kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan juga akan turut diberi akses kepada perkhidmatan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dan program pasaran buruh aktif di bawah Perkeso yang akan membantu dalam mengurangkan tempoh masa pengangguran.
Perkeso dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan, merangka tiga program padanan caruman bagi perlindungan sosial ke atas golongan yang bekerja sendiri iaitu:
i. PenjanaGig di bawah pakej PENJANA bagi pekerja GIG;
ii. SPS Lindung di bawah Belanjawan 2021 bagi GIG riders, para sukarelawan dan pekerja Contract For Service dalam sektor awam; dan
iii. SPS Prihatin Wanita di bawah pakej PEMERKASA bagi usahawan dan pekerja wanita yang bekerja sendiri.
NEC juga memperakui perancangan Perkeso untuk memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial yang diberikan kepada pelbagai kumpulan OBS lain melalui beberapa inisiatif kolaborasi bersama kementerian terlibat atau persatuan pekerja.
Seperkara lagi yang menarik ialah mengenai Program Kerjaya UP yang dirangka Perkeso khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar.
Program yang melibatkan 14 buah kementerian, agensi dan NGO ini akan melaksanakan lima aktiviti utama iaitu temu duga, kaunseling kerjaya, latihan kemahiran, bantuan akses kepada pembiayaan serta pendaftaran perniagaan.
Program ini akan dibawa menjelajah ke bandar-bandar besar di serata negara bermula Julai nanti.
Untuk para penganggur jangka masa panjang yang dikenal pasti di bawah Program Kerjaya UP, Perkeso juga akan melaksanakan program intervensi khas di mana individu terbabit akan menjalani program khas untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.
Antara 7,000 hingga 10,000 penempatan pekerja dijangka akan dapat dihasilkan melalui Program Kerjaya UP ini di serata pelusuk tanah air.
Syabas Perkeso. Tatkala negara sedang suram dilanda pandemik, anda telah memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia di bawah pelbagai program dan inisiatif.
Klik di sini untuk terus membaca