"DUNIA seolah-olah menjadi pekak dan bisu apabila Israel menyerang dan membunuh Palestin.”
Demikian ungkap Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dalam satu pertemuan secara eksklusif dengan Sinar Harian pada pagi Selasa.
Selepas lebih seminggu bumi Palestin bermandi darah, sehingga kini akuinya hanya sebilangan kecil negara yang berani mengutuk perbuatan jenayah Zionis itu termasuklah Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Sehingga kini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya menjaga keamanan dunia masih membisu.
PBB masih belum pun mengutuk jenayah Israel jauh sekali meluluskan sebarang resolusi untuk menyelamatkan Palestin.
Difahamkan, Amerika Syarikat (AS) telah menyekat pernyataan bersama PBB untuk meminta gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Walaupun angka korban penduduk Palestin sudah melebihi 200 orang manakala korban penduduk Israel cuma 10 orang, di mata AS, Israel adalah mangsa.
Malah dengan gerakan pelobi Yahudi yang menggunakan pengaruh mereka dalam pentadbiran AS, maka bukan rahsia lagi negara Uncle Sam telah sekian lama menjadi ‘abang besar’ yang melindungi Israel.
Datanglah presiden AS daripada parti Republikan mahupun Demokrat, AS tetap AS. Dengan setiap tahun Washington mengirimkan AS$3.8 bilion (RM14.7 bilion) dana bantuan kepada Israel, sangatlah jelas mengapa Israel adalah sekutu AS yang tidak dapat disentuh.
AS telah menyalahgunakan kuasa veto yang dimilikinya untuk menghalalkan jenayah Israel.
Dilaporkan sejak tahun 1970, AS telah menggunakan sekurang-kurangnya 43 kali kuasa vetonya untuk menghalang pelbagai resolusi mengutuk Israel dan menyelamatkan Palestin serta Lubnan.
Dengan dunia sudah pun memasuki milenium baharu, sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa membubarkan kuasa veto dimiliki lima negara dunia termasuk AS.
Kuasa veto itu hakikatnya ibarat ‘tali’ untuk AS dan negara kaya menjadikan PBB sebagai boneka politik demi kepentingan masing-masing.
Klik di sini untuk terus membaca