PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan penjelasan bahawa negara tidak akan melaksanakan total lockdown sama seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Rasional di sebalik keputusan itu adalah untuk memastikan ekonomi negara dapat dipertahankan dan pada masa yang sama memastikan rakyat tidak kehilangan pekerjaan. Pendekatan yang diambil kerajaan pada masa ini adalah dengan memastikan pelaksanaan PKP yang lebih ketat dan meminta rakyat untuk melakukan sekatan pergerakan kendiri atau self lockdown.
Tidak boleh dinafikan negara sedang bergelut melawan pandemik Covid-19 ketika ini yang menyebabkan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) semakin meningkat. Sementara menanti program vaksin dapat dilaksanakan sepenuhnya, tindakan segera dan pantas perlu dilakukan.
Lantaran itu, pada 21 Mei lalu, hasil konsultasi Sinar Harian dan beberapa wartawan veteran yang prihatin dengan pakar-pakar perubatan serta sains negara mengemukakan lapan saranan untuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melawan Covid-19.
Antara pelan tindakan segera seperti disyorkan pakar-pakar itu merangkumi perkukuhkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan bukti sedia ada, ujian saringan berskala besar secara percuma dan pengurusan komuniti Covid-19 menggunakan alat digital dengan kerjasama hospital swasta.
Selain itu, optimumkan penggunaan pusat berisiko rendah, perluaskan penggunaan katil dengan menyatukan sektor awam, GLC dan swasta serta pertingkatkan vaksinasi dengan cepat, selain memperkasakan komunikasi risiko.
Pelan sosioekonomi perlu sebagai jalan keluar yang lancar dan selamat kerana pelaksanaan PKP tidak akan mengakhiri pandemik, sebaliknya tanpa perancangan jangka panjang.
Buat masa sekarang, masih belum ada sebarang respons daripada kerajaan berhubung cadangan-cadangan yang dikemukakan Sinar Harian. Ia adalah satu bentuk cadangan konstruktif akhbar itu dan dikemukakan kepada kerajaan atas rasa prihatin untuk bersama-sama melawan Covid-19. Diharap usaha kita akan dapat bersama-sama menyelamatkan negara tercinta.
Klik di sini untuk terus membaca