KEJADIAN dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung di dalam terowong berhampiran Stesen KLCC malam kelmarin adalah kemalangan paling buruk sejak perkhidmatan rel itu beroperasi di Lembah Klang 23 tahun lalu. Insiden membabitkan LRT... Klik di sini untuk terus membaca

KEJADIAN dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung di dalam terowong berhampiran Stesen KLCC malam kelmarin adalah kemalangan paling buruk sejak perkhidmatan rel itu beroperasi di Lembah Klang 23 tahun lalu.

Insiden membabitkan LRT Laluan Kelana Jaya itu menyebabkan 213 penumpang cedera, 47 daripadanya parah. Gambar dan video mangsa-mangsa bergelimpangan di dalam tren tersebar dengan pantas di media sosial.

Nahas itu mengejutkan rakyat Malaysia, malah ia turut dilaporkan oleh media antarabangsa.

Dengan kes Covid-19 sedang memuncak, kemalangan berskala besar seperti itu pasti menambah beban petugas barisan hadapan. Meskipun begitu, keutamaan kini tentunya memberikan rawatan terbaik kepada mangsa yang cedera.

Pada masa sama, Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan itu mesti melakukan siasatan penuh terhadap kejadian malang tersebut.

Hakikatnya, ini bukanlah kemalangan pertama yang berlaku. Sebelum ini empat penumpang cedera apabila sebuah tren STAR-LRT yang membawa 300 penumpang melanggar belakang sebuah tren lain pada tahun 2008.

Laluan LRT Kelana Jaya adalah laluan kelima Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang dan yang pertama menggunakan tren automatik tanpa pemandu sepenuhnya. Perkhidmatan rel - LRT, Transit Aliran Massa (MRT) adalah pengangkutan awam terpenting penduduk Lembah Klang.

Menurut Prasarana, jumlah pengguna perkhidmatan rel itu mencecah 800,000 penumpang sehari. Jumlahnya menurun sedikit sahaja iaitu 500,000 sehari sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melihat begitu tingginya kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan rel, maka insiden kemalangan LRT perlu dipastikan tidak berulang lagi.

Keyakinan masyarakat terhadap keselamatan pengangkutan awam mesti dipertingkatkan dan tidak boleh dikompromi.

Peristiwa kemalangan kereta api metro yang menyebabkan 13 orang terbunuh di Mexico City pada 4 Mei lalu wajar diambil iktibar agar tidak berlaku lagi di Malaysia.

Nyawa rakyat tidak boleh dipertaruhkan walau apa pun alasannya.

Klik di sini untuk terus membaca