MALAYSIA sekali lagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau total lockdown bermula 1 Jun hingga 14 Jun setelah jumlah jangkitan Covid-19 meningkat secara mendadak.
Sebelum ini, dalam wawancara siaran langsung menerusi RTM dan Bernama TV minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat agar melakukan sekatan pergerakan kendiri (self-lockdown).
Demi mengelakkan kes baharu semakin meningkat, kini tibalah masa unuk seluruh rakyat jelata mendisiplinkan diri dengan berada di rumah masing-masing jika tiada urusan penting.
Kita memahami hasrat sebenar kerajaan untuk melaksanakan PKP penuh seperti dilaksanakan pada Mac tahun lalu biarpun ia akan menjejaskan pendapatan rakyat dan ekonomi negara.
Kerjasama daripada rakyat amat diperlukan. Sekiranya kita mahu memenangi pertarungan dengan Covid-19 ini, sekatan pergerakan kendiri perlu sentiasa menjadi amalan kita semua. Seperti yang dijelaskan Muhyiddin, penutupan semua sektor ekonomi ketika PKP 1.0 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, malahan kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk membantu rakyat dan golongan peniaga.
Antara kepentingan nyawa dan ekonomi, kerajaan telah mengambil pendekatan yang seimbang bagi memastikan tiada lebih banyak nyawa akan terkorban manakala kedudukan ekonomi tidak merudum dengan lebih teruk.
Pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial serta tidak mengunjungi tempat awam tanpa sebarang tujuan perlu menjadi peringatan.
Kita semua mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk melandaikan keluk Covid-19. Mematahkan rantaian Covid-19 bukanlah tugas petugas barisan hadapan semata-mata tetapi melibatkan kesungguhan setiap lapisan masyarakat.
Proses vaksinasi yang rancak dijalankan di seluruh negara ketika ini juga menjadi keutamaan memerangi pandemik itu.
Sasaran 80 peratus untuk rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini diharap menjadi kenyataan sekali gus memberi jaminan negara ini terselamat sepenuhnya daripada jangkitan.
Klik di sini untuk terus membaca