NAMPAKNYA amaran denda RM100,000 dan hukuman penjara terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 tidak memberi sebarang kesan ke atas pelaku perbuatan tersebut.
Mereka masih dengan sewenang-wenangnya mencetuskan dan seterusnya menyebarkan pelbagai berita palsu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Umpamanya seperti yang berlaku pada Ahad lalu apabila angka kes positif palsu iaitu 10,290 disebarkan melalui WhatsApp hingga ramai percaya kepada angka berkenaan. (Jumlah sebenar 6,999).
Orang ramai menjadi mudah percaya kerana berlaku kenaikan kes mendadak bermula pada 23 Mei iaitu sebanyak 6,976 kes positif hinggalah pada 29 Mei, sebanyak 9,020 kes.
Begitu juga dengan berita palsu mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan bertebaran di media sosial setiap kali Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman di televisyen.
Contohnya, SOP terkini aktiviti sosial ketika full lockdown bermula 1 Jun hanya membenarkan jogging dan senaman di kejiranan. Tetapi berita palsu yang disebarkan menunjukkan aktiviti sukan lain juga dibenarkan.
Kesannya akan ada yang dikenakan kompaun selepas ini jika mempercayai maklumat itu tanpa selidik.
Berita palsu yang dicipta mirip info tulen amat mengelirukan orang ramai hinggakan apabila mendapat maklumat yang benar masyarakat sukar untuk mempercayainya kerana bimbang ia adalah berita palsu.
Begitulah kesan berita palsu yang telah menular dalam masyarakat kita hari ini.
Contoh-contoh yang dinyatakan adalah sebahagian kecil daripada berita-berita palsu lain yang bertebaran di media sosial ketika ini.
Banyak lagi berita palsu yang memberi impak lebih besar seperti vaksin Covid-19 akan menyebabkan kematian, vaksin agenda memusnahkan manusia dan macam-macam lagi.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan terhadap penyebaran berita palsu agar perbuatan berkenaan dapat dikekang dengan lebih baik.
Klik di sini untuk terus membaca