TIADA siapa dapat menyangkal sekarang ini adalah waktu yang paling sukar untuk semua. Dengan kes harian yang mencecah angka 9,000 pada Sabtu lalu, akhirnya kerajaan tidak dapat bertangguh lagi untuk mengumumkan pelaksanaan total lockdown... Klik di sini untuk terus membaca

TIADA siapa dapat menyangkal sekarang ini adalah waktu yang paling sukar untuk semua.

Dengan kes harian yang mencecah angka 9,000 pada Sabtu lalu, akhirnya kerajaan tidak dapat bertangguh lagi untuk mengumumkan pelaksanaan total lockdown atau Sekatan Pergerakan Penuh.

Walaupun ada pelbagai pihak melihat total lockdown yang bermula pada Selasa masih longgar, tetapi sekatan kali ini pastinya dibuat berdasarkan pengalaman yang telah kita lalui sebelum ini.

Kita pernah menutup hampir semua sektor ekonomi tahun lalu dan kita telah melihat natijah buruknya apabila ekonomi negara merudum teruk. Angka pengangguran pula mencatatkan rekod 800,000 orang, lebih tinggi daripada kemelesetan ekonomi pada tahun 1998.

Pun begitu, lockdown kali ini pastinya akan turut memberi kesan kepada banyak pihak walaupun 17 sektor perkhidmatan dibenarkan beroperasi.

Tepat jam 9 malam pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di bawah Pemerkasa Plus telah mengumumkan perutusan khas bantuan sebanyak RM40 bilion untuk membantu rakyat yang terjejas.

Golongan B40 antara yang boleh menarik nafas lega apabila kerajaan menyalurkan bantuan wang tunai antara RM100 hingga RM500 mengikut pendapatan isi rumah.

Tidak terkecuali, golongan pekerja sektor pelancongan dan pengangkutan yang paling terjejas teruk apabila diberikan sumbangan bantuan RM500.

Selain itu, satu juta usahawan mikro juga khabarnya boleh memohon bantuan Geran Khas Prihatin sebanyak RM1,500 untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Walaupun bantuan itu mungkin tidak setara dengan jumlah kerugian yang ditanggung, namun dalam waktu sukar ini bantuan tersebut sekurang-kurangnya memastikan tiada rakyat yang akan kelaparan.

Sekarang, tiba giliran kita pula untuk menunjukkan kesungguhan dalam peperangan ini. Untuk dua minggu ini, lebih 32 juta rakyat Malaysia perlu berdisiplin untuk ‘berkurung di rumah’.

Kita pernah melakukannya tahun lalu, kita boleh melakukannya sekali lagi!

Klik di sini untuk terus membaca