KISAH penyalahgunaan dadah di Malaysia seperti tiada jalan penyelesaian.
Difahamkan melalui rekod Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), akan muncul penagih dadah baharu setiap hari.
Dapat disimpulkan, usaha memerangi gejala penagihan dadah yang digerakkan kerajaan secara agresif sejak tahun 1984 boleh disifatkan sebagai gagal.
Gagal bukan kerana tiada penguatkuasaan tetapi gagal kerana sikap kita sendiri yang secara tidak sedar menjadi penyumbang kepada kehadiran penagih baharu tanpa disangka.
Kenapa jadi begitu? Menerusi kajian yang dilakukan, 90 peratus penagih baharu belajar melalui rakan mereka sendiri.
Ya, pergaulan tanpa batas, ingin mencuba sesuatu yang luar biasa dan masalah keluarga sering menjadi alasan mengapa mereka (penagih) boleh terjebak.
Bukan mahu menuding jari, namun hakikat itu jika diceritakan memang cukup pahit untuk ditelan.
Ia terbukti apabila tangkapan dibuat oleh agensi berkaitan di sebuah rumah, ada ibu bapa yang tidak tahu lima orang anak mereka yang selama ini dilihat baik rupa-rupanya sudah terjerumus ke dalam kancah penagihan dadah.
Begitu juga ada abang dan kakak tidak menyangka adik mereka yang selama ini dilihat berkelakuan baik, sering keluar mengulang kaji pelajaran bersama rakan rupa-rupanya sudah advanced menghadiri parti liar.
Ini sebenarnya yang kita takutkan apabila keluarga terutama ibu bapa tidak mengambil tahu aktiviti anak-anak.
Kesilapan yang tidak nampak itu hanya diketahui selepas pihak berkuasa datang ke rumah melakukan tangkapan ke atas ahli keluarga, malah tidak kurang juga yang ditangkap ketika menghadiri private party yang menghidangkan dadah untuk bersuka ria.
Rampasan bernilai jutaan ringgit oleh pihak berkuasa tidak akan berjaya jika institusi keluarga tidak berubah.
Hendak berubah macam mana jika sibuk salahkan kerajaan, menuduh pihak berkuasa tidak buat kerja sehingga tidak sedar rupa-rupanya anak sendiri menjadikan bilik di rumah sebagai port untuk lalok dadah.
Klik di sini untuk terus membaca