NAIK, naik dan naik!.
Seminggu dua ini, sebagaimana naiknya kes Covid-19, begitulah juga dengan harga pelbagai jenis barangan.
Minggu lalu rentetan kenaikan harga pasaran kelapa sawit dunia, harga minyak masak botol pun turut melonjak. Khabarnya harga buah tandan segar melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah, RM1,024.24 satu tan.
Akibatnya harga minyak masak di pasaran pun melambung antara RM3 hingga RM5 sebotol. Mujurlah kerajaan masih mengekalkan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS) iaitu subsidi minyak masak dalam bentuk bungkusan.
Maka ramailah yang ketika ini terpaksa beralih kepada minyak masak peket subsidi pada harga RM2.50 sekilogram sebagai alternatif ganti.
Selang seminggu, gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, lebih 12,000 pekerja kebun terpaksa berkurung di rumah.
Rentetan daripada PKPD itu, ia memberi kesan kepada bekalan sayur-sayuran dari ladang-ladang di tanah tinggi itu.
Bayangkan pekebun-pekebun di Cameron Highlands mengeluarkan lebih 800 tan metrik atau 800,000 kilogram sayur-sayuran sehari dengan anggaran nilai RM1 juta.
Malangnya, apabila Cameron Highlands menjadi pengeluar utama sayur-sayuran bukan sahaja di Malaysia bahkan Singapura, kekurangan bekalan tersebut menyebabkan harga sayur-sayuran pula naik sehingga mencecah 40 peratus.
Dan bayangkan PKPD tersebut bukan berlangsung selama sehari atau dua, bagaimana kesan bekalan sayur-sayuran di pasaran dalam masa kira-kira dua minggu ini.
Dengan strategi jangka pendek pada ketika ini, mungkin kerajaan boleh mengimport sayur-sayuran dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, namun kerajaan perlu memikirkan juga pelan jangka panjang.
Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada Cameron Highlands semata-mata sebagai pengeluar utama sayur-sayuran di Malaysia.
Kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak lagi ‘Cameron Highlands kedua dan ketiga’ di daerah dan negeri lain bagi menampung permintaan makanan yang meningkat saban tahun.
Klik di sini untuk terus membaca