PARTI politik jika tidak bergolak bukan parti politiklah namanya. UMNO sejak tumpas pada pilihan raya umum lalu, yang turut menyaksikan pucuk pimpinannya didakwa di mahkamah, bergolak tidak habis-habis hingga ke hari ini.
Ada kumpulan yang nak keluar dari Perikatan Nasional (PN) dan ada kumpulan yang nak kekal. Ada yang sokong presiden dan ada yang dah hilang kepercayaan kepada presiden. Ada satu kumpulan pula lagi yang mahu melihat kepimpinan diganti.
Tapi isu tu dah tak relevan sekarang selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat keputusan untuk menunda pemilihan parti selama 18 bulan lagi.
"Yang pasti, kita akan menarik diri dari kerajaan...,” ujar salah seorang daripada ahli MKT kepada penulis.
Bila ditanya tarikhnya, jawapan yang diberi ialah, saudara tahu bila.
Penulis tidak bercadang untuk mendedahkan tarikh yang disebut itu kerana hari ini lain, esok boleh jadi lain. Kita semua dah sedia maklum dan pernah menyaksikannya. Tapi dalam politik macam-macam boleh jadi.
Yang orang tertanya-tanya ialah andai kata sokongan ke atas kerajaan ditarik balik oleh UMNO, apa akan jadi dengan kerajaan. Boleh jatuhkan kerajaan yang ada sekarang?
Jawapannya mungkin ya mungkin juga tidak. Apatah lagi dalam keadaan di mana tidak ada parti yang betul-betul kuat dengan jumlah ahli Parlimen yang besar. Andai kata tukar kerajaan sekali pun kumpulan atau gabungan yang ambil alih juga tidak akan sekuat mana.
Mundar sana mandir sini, akhirnya yang menjadi penentu jatuh atau bangunnya kerajaan ini bukannya parti atau kita, rakyat jelata.Yang menjadi penentu ialah ahli-ahli Dewan Rakyat itu sendiri.
Kita ni bukan ahli Dewan Rakyat. Kita hanya rakyat jelata yang tak ada kuasa. Kuasa kita hanya ketika hendak pangkah kertas undi sahaja. Selepas tu kita menyerahkan mandat kita kepada wakil rakyat.
Kenapakah mereka digelar wakil rakyat? Kerana secara teorinya mereka mewakili suara kita. Tak mungkin kita semua dapat masuk ke dalam dewan untuk berbahas dan berhujah kerana terlalu ramai.
Sebab itulah ahli-ahli Yang Berhormat ini seperti Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Ahmad Maslan malah ahli-ahli Yang Berhormat dari mana-mana parti sekali pun, semuanya dipanggil wakil rakyat kerana mereka mewakili rakyat.
Maka sebab itulah juga dewan persidangan dinamakan Dewan Rakyat.
Malangnya pada satu sudut yang lain, mandat yang kita serah ini secara praktikalnya adalah kuasa mutlak.
Manakan tidak. Selepas mereka dipilih ke Dewan Rakyat atau ke Dewan Undangan Negeri, mereka yang menentukan segala-galanya.
Pernahkah kita dengar wakil rakyat yang hendak lompat parti misalnya buat pertemuan townhall dengan pengundi mereka untuk mendapat mandat terlebih dahulu? Begitu juga jika nak menukar perdana menteri sekali pun.
Jika parti kuat, partilah yang menentukan. Jika parti lemah dan berpecah belah maka akhirnya yang akan membuat perhitungan ialah ahli-ahli Yang Berhormat secara individu. Mereka mungkin akan dipecat selepas itu tapi siapa kira itu semua dalam keadaan yang tidak menentu ini.
Sekali lagi bukan rakyat kebanyakan seperti kita yang menentukan. Tugas kita hanya lima tahun sekali sahaja. Tu pun bukan pilih calon perdana menteri tapi pilih wakil parti yang akan membentuk majoriti di dalam dewan nanti.
Oleh itu, sebarang keputusan yang mereka ambil untuk menyokong siapa dalam dewan terletak di tangan mereka sepenuhnya.
Suara kita rakyat yang mengundi untuk meletakkan mereka di situ tidak diambil kira atau dibawa berunding. Kita hanya sekadar melihat dan menjadi penonton semata-mata sedangkan masa bagi undi dahulu kita yang buat.
Sepatutnya ada peraturan yang menyatakan, mana-mana wakil rakyat yang mahu melompat ke parti lain harus menyerahkan kembali mandat itu kepada pengundi maka barulah betul kuasa menentukan masa depan negara diletakkan di tangan rakyat.
Sekali lagi, malangnya, mandat ini tidak wujud. Rakyat sebenarnya tidak ada kuasa menentukan siapakah yang bakal menjadi perdana menteri atau menukar kerajaan dalam dewan. Kuasa itu kuasa ahli-ahli yang berhormat.
Ringkasnya, kuasa kita hanya sekali iaitu semasa hendak mengundi sedangkan kuasa mereka (wakil rakyat) berkali-kali selagi mereka bergelar ahli Yang Berhormat.
Selamat menonton apakah kesudahan episod Dewan Rakyat kali ini.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca