[INFOGRAFIK] Persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada 2020 menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.Menurutnya, jumlah tersebut... Klik di sini untuk terus membaca
[INFOGRAFIK] Persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada 2020 menyebabkan bilangan siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, jumlah tersebut meningkat sebanyak 37,200 orang kepada 202,400 orang berbanding 165,200 orang pada 2019.

Justeru, katanya, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

"Pertambahan ini dilihat bagi kedua-dua pemegang ijazah iaitu seramai 22,400 orang dan diploma (14,800) yang mana sebahagian besarnya berumur 35 tahun dan lebih.

"Selain itu, lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang dari tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata, gaji dan upah siswazah pada 2020 bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf turun 10.6 peratus kepada RM4,489 berbanding RM5,020 pada 2019.

"Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1 peratus berbanding 2019 manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5 peratus pada tempoh yang sama.

"Dapat dilihat bahawa kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak 8.0 peratus kepada RM5,316 sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan penurunan kali pertama dalam gaji dan upah pada 2020 sejak ia dilaporkan pada 2010.


Untuk rekod, Malaysia mencatatkan seramai 5.36 juta siswazah pada 2020 berbanding 5.13 juta pada 2019.

Sementara pada 2018 pula Malaysia mencatatkan seramai 4.96 juta siswazah berbanding 4.61 juta pada 2017.

Dr Mohd Uzir berkata, peningkatan bilangan siswazah pada setiap tahun adalah seiring dengan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan tinggi dalam meningkatkan taraf hidup.

Setelah menamatkan pengajian, mereka menyasarkan untuk mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan, sekali gus memperoleh gaji yang tinggi berserta faedahnya, katanya.

"Namun, dengan keadaan pasaran buruh yang mencabar berikutan pandemik telah menyebabkan peluang pekerjaan lebih rendah dan peningkatan persaingan,” tambahnya.


Daripada 5.36 juta siswazah pada tahun lalu, 4.45 juta bekerja (81 peratus), manakala 202,400 orang menganggur (4 peratus) dan 800,900 berada di luar tenaga buruh (15 peratus).

Menurut Dr Mohd Uzir, daripada jumlah siswazah yang bekerja, 68.8 peratus daripadanya berada dalam kategori pekerjaan mahir.

Sementara itu, 28.9 peratus daripada mereka berada dalam kategori pekerjaaan separuh mahir dan 2.3 peratus lagi berada dalam kategori pekerjaan berkemahiran rendah, katanya.

Jelasnya, 39.4 peratus siswazah yang berada di luar tenaga buruh pula terdiri daripada mereka yang berada di rumah kerana menjalankan tanggungjawab keluarga.

"Buat julung-julung kalinya, bilangan siswazah di luar tenaga buruh pada 2020 menurun sebanyak 5.1 peratus berbanding peningkatan 6.3 peratus pada 2019,” tambahnya.
Klik di sini untuk terus membaca