SELANGOR mencatatkan warga emas atau tua paling ramai berbanding negeri lain, menurut laporan Poket Stats Negeri Selangor Suku Tahun Pertama (ST1) 2021. Laporan data penduduk 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia itu mencatatkan... Klik di sini untuk terus membaca

SELANGOR mencatatkan warga emas atau tua paling ramai berbanding negeri lain, menurut laporan Poket Stats Negeri Selangor Suku Tahun Pertama (ST1) 2021.

Laporan data penduduk 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia itu mencatatkan Selangor mempunyai seramai 366,240 warga tua atau 5.6 peratus daripada populasi penduduknya iaitu 6.54 juta orang.

Bagi warga bekerja pula, negeri itu mencatatkan seramai 4.7 juta orang manakala warga muda sekitar 1.5 juta orang.

Bagaimanapun, dari segi peratusan Perak merupakan negeri yang mencatatkan jumlah warga tua paling tinggi iaitu 11 peratus berbanding negeri lain.

Namun, jumlah tersebut hanya melibatkan 276,000 orang daripada populasi penduduknya yang berjumlah 2.51 juta orang.

Warga tua merujuk kepada penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas, sementara warga bekerja (15-64 tahun) dan muda (0-14tahun).

Dalam pada itu, data populasi penduduk di setiap negeri mencatatkan Pahang mempunyai nisbah jantina antara penduduk lelaki dan perempuan yang paling tinggi iaitu 112.

Nisbah tersebut merujuk kepada bilangan lelaki bagi setiap 100 orang perempuan di negeri itu.

Berdasarkan laporan Poket Stats Negeri Pahang 2021, negeri itu mecatatkan bilangan penduduk lelaki kira-kira 890,000 orang manakala penduduk wanita pula lebih kurang 790,000 orang.

Nisbah jantina kedua tertinggi dicatatkan oleh Johor iaitu 110, diikuti Sabah (109), Sarawak (108), Selangor (107) dan Negeri Sembilan (106).

Sementara negeri lain pula mencatatkan nisbah antara jantina yang tidak jauh bezanya iaitu antara 101-102.

Populasi 2020 merekodkan Malaysia mempunyai penduduk seramai 32.7 juta yang mana lelaki seramai 16.8 juta dan perempuan (15.9 juta).

Nisbah jantina dicatatkan ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan atau bilangan kaum Adam lebih ramai daripada kaum Hawa.

Klik di sini untuk terus membaca