[INFOGRAFIK] Sejak Facebook diperkenalkan pada 2004, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggunakannya sebagai tempat bersosial di alam maya.
Pelbagai aktiviti dilakukan menggunakan platform berkenaan termasuk mencari dan menambah kenalan, menjual barang ataupun berkongsi minat.
Dianggarkan, lebih separuh daripada populasi rakyat di negara kita cenderung yang menggunakan Facebook berbanding media sosial lain.
Berdasarkan data NapoleonCat.com, terdapat 28 juta pengguna Facebook direkodkan di Malaysia sehingga Mei 2021.
Ia mewakili 85.6 peratus populasi terkini rakyat negara kita yang dianggarkan berjumlah 32.7 juta orang.
Daripada jumlah tersebut, laman web berkenaan mencatatkan pengguna Facebook paling ramai di Malaysia ialah lelaki iaitu sebanyak 15 juta atau 53.5 peratus.
Mereka yang berusia antara 25 hingga 34 tahun adalah kelompok pengguna terbesar media sosial yang diasaskan oleh Mark Zukerberg itu.
Dianggarkan, mereka yang berada di dalam kelompok pengguna berkenaan berjumlah 9.5 juta atau 33.9 peratus daripada pengguna Facebook di Malaysia.
Perbezaan jumlah pengguna antara lelaki dan perempuan dicatatkan pada kelompok usia 25 hingga 34 tahun yang mana jumlah golongan Adam itu melebihi 1.1 juta berbanding golongan Hawa.
Kalau lelaki kuat ‘main’ Facebook, wanita pula kuat ‘main’ Instagram kerana jumlah penggunanya di negara kita dimonopoli oleh golongan berkenaan.
Berdasarkan data laman web sama, seramai 8 juta atau 55.9 peratus daripada 14.3 juta pengguna media sosial berkenaan sehingga Mei 2021 adalah wanita.
Di Malaysia, pengguna Instagram merangkumi 43.8 peratus populasi penduduknya, lapor NapoleonCat.com.
Kelompok pengguna paling ramai mendominasi penggunaan media sosial itu ialah mereka yang berusia antara 25 hingga 34 tahun iaitu seramai 5.1 juta atau 35.6 peratus.
Perbezaan jumlah dengan pengguna lelaki pula dicatatkan berada dalam kelompok pengguna berusia antara 35 hingga 44 tahun yang mana golongan Hawa itu mengatasi jumlah golongan Adam sebanyak 350,000 atau 2.5 peratus.
Data yang diambil daripada NapoleonCat.com ini bukan bertujuan memperlekehkan mana-mana golongan, sebaliknya ia bertujuan memberi pengetahuan secara am mengenai pengunaan Facebook dan Instagram dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hasil analisis data itu menunjukkan lelaki dan wanita di negara kita ada kecenderungan untuk memilih media sosial mana yang lebih seseuai dan selesa dengan mereka.
Diharapkan kedua-dua golongan berkenaan dapat menggunakan media sosial disukai dengan baik, sekali gus memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Klik di sini untuk terus membaca