GERAKAN Hartal Doktor Kontrak yang menggesa pegawai perubatan kontrak seluruh negara melakukan mogok pada 26 Julai ini tidak seharusnya dipandang ringan.
Mereka menuntut kerajaan menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan kriteria pelantikan tetap.
Baru-baru ini, wujud pula kempen 'Code Black’ menyeru orang ramai menukar gambar profil di media sosial masing-masing dengan warna hitam atau monokrom dari 1 hingga 12 Julai lalu serta memuat naik gambar tanda pagar seperti #SaveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY.
Isu membabitkan doktor kontrak bukan perkara baharu tetapi sering disuarakan, namun tidak pernah diberi perhatian.
Apabila muncul pandemik Covid-19 yang menyaksikan ribuan petugas perubatan bertungkus-lumus bekerja siang malam, barulah ada pihak membuka mata.
Jika isu ini tidak timbul, rakyat Malaysia pun tidak tahu masalah yang dihadapi kira-kira 23,000 doktor kontrak di Malaysia.
Isu itu akhirnya mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berbincang dengan Jemaah Menteri bagi melihat tuntutan tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata, untuk memberi jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam kepada ribuan doktor kontrak memerlukan kos tinggi iaitu lebih RM2 bilion.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut meminta doktor kontrak supaya bersabar sementara kerajaan mencari jalan penyelesaian. Kini, terserah kepada kebijaksanaan kerajaan menyelesaikannya.
Rasanya, rakyat Malaysia juga ramai yang simpati dengan nasib doktor kontrak ini dan mahukan kerajaan menyelesaikan isu tersebut untuk kebaikan bersama. Sekiranya betul doktor-doktor di Malaysia mogok, pasti akan memberi kesan kepada rakyat untuk jangka masa panjang. Anak-anak muda pasti tidak lagi berminat menjadi doktor.
Bukan apa, kita tidak mahu suatu hari nanti negara terpaksa bergantung dengan khidmat doktor warga asing pula. Sudah-sudahlah bawa pekerja asing ke Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca