26 Julai lalu, Filipina akhirnya berjaya memenangi pingat emas Olimpik mereka yang pertama. Penantian 97 tahun negara itu akhirnya membuahkan hasil di Tokyo, Jepun.
Pingat emas yang didambakan berjaya direalisasikan oleh atlet angkat berat, Hidilyn Diaz dalam acara 55 kilogram. Namun, di sebalik kejayaan manis mencipta sejarah untuk Filipina, banyak cabaran dan pengorbanan yang perlu ‘dibayar’ oleh Diaz. Ia penuh dengan laluan yang berliku, namun sangat memberikan inspirasi.
Diaz datang berlatih di Malaysia pada Februari 2020 tetapi disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan Diaz terkandas.
Bukan sedikit cabaran ‘emosi’ yang perlu dihadapi Diaz kerana dia dikatakan seorang yang cerewet dan mementingkan kesempurnaan kemudahan latihan. Akibat pandemik, dia berdepan dengan penutupan gimnasium, kekurangan akses peralatan angkat berat dan ketidakpastian yang mengejutkan sama ada Sukan Olimpik mungkin dibatalkan.
Diaz terpaksa berlatih secara senyap di dalam sebuah pangsapuri di ibu kota Kuala Lumpur selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia bagi mengekang penularan Covid-19.
Diaz kemudiannya meneruskan latihan di belakang sebuah rumah di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka yang dikelilingi oleh pokok pisang dan pokok rambutan atas bantuan bapa angkatnya, Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah.
Jauh daripada kesempurnaan yang digambarkan. Terpaksa bertarung dengan cuaca panas di tempat terbuka berbanding latihan di gimnasium berhawa dingin tetapi ia langsung tidak memudarkan semangatnya memburu pingat emas Sukan Olimpik.
‘Gimnasium kampung’ yang dirasakan mustahil mampu memberikan emas kepadanya di Olimpik Tokyo kini bukan lagi mustahil.
Ambillah semangat Diaz yang kekal berdisiplin walaupun serba kekurangan, sabar dalam kesulitan, fokus walaupun ada gangguan dan berhijrah demi kejayaan.
Semoga menjadi motivasi kepada kita semua dalam apa juga yang sedang kita usahakan.
Klik di sini untuk terus membaca