[INFOGRAFIK] Di sebalik kematian demi kematian rakyat Palestin akibat keganasan Israel di Gaza dan Tebing Barat, populasi penduduk di negara itu direkodkan meningkat pada setiap tahun.
Berdasarkan data wordometer.info, populasi rakyat Palestin di dua kawasan tersebut antara 2015 hingga 2020 dianggarkan berjumlah 5,101,414.
Jumlah tersebut menyumbang sebanyak 0.07 peratus kepada populasi penduduk dunia yang dianggarkan berjumlah 7.8 bilion pada hari ini.
Ia secara tidak langsung meletakkan Palestin di tangga ke-121 dalam senarai populasi penduduk dunia.
Jumlah tersebut juga menyaksikan perubahan populasi sebanyak 2.41 peratus pada setiap tahun.
Dalam pada itu, data laman web tersebut turut menunjukkan jangka hayat rakyat Palestin semakin meningkat saban tahun.
Peningkatan tersebut dicatatkan berlaku antara 1950 sehingga 2020 yang mana pada awalnya jangka hayat rakyat negara itu hanya 46.6 tahun.
Kini, jangka hayat rakyatnya ialah 74.6 tahun manakala bagi lelaki (72.9 tahun) dan wanita (76.4 tahun).
Memetik jurnal perubatan BMJ Open bertajuk, "Health expectancy in the occupied Palestinian territory: Estimates from the Gaza Strip and the West Bank: Based on surveys from 2006 to 2010”, jangka hayat penduduk Palestin meningkat kerana secara amnya mereka tidak menghidap penyakit kronik.
Bagaimanapun, jurnal yang diterbitkan pada 2012 melibatkan 38,071 responden itu menjelaskan, pada 2010 kesihatan lelaki Palestin mula merosot akibat penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, sekali gus mengurangkan jangka hayat kaum tersebut berbanding wanita.
Palestin yang dijarah oleh peneroka haram Israel tanpa henti sejak 1947 kini hanya berkeluasan 6,020 kilometer persegi (km2).
Negara tersebut merangkumi dua kawasan utama yang didiami oleh penduduknya iaitu Gaza seluas 365 km2 dan Tebing Barat (5,655 km2).
Palestin merangkumi 16 wilayah pentadbiran yang mana 11 daripadanya terletak di Tebing Barat iaitu Janin; Tubas; Tukarm; Nablus; Qalqiliya; Baitulmaqdis; Salfit; Ramallah & Al Bireh; Jericho & Al Aghwar; Bethlehem dan Hebron.
Sementara di wilayah yang terletak di Gaza pula ialah Utara Gaza, Gaza, Deir Al-Balah, Khan Yunis dan Rafah.
Rakyat Palestin majoritinya beragama Islam manakala selebihnya beragama Kristian, Judaism, Druze and Samawi.
Majoriti penduduknya adalah bangsa Arab Palestin yang membentuk 83 peratus populasi negara manakala 17 peratus yang lain adalah Yahudi.
Klik di sini untuk terus membaca