[INFOGRAFIK] Permainan video merupakan satu daripada aktiviti hiburan yang mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia. Aktiviti tersebut dilihat terus berkembang dengan pesat, malah jumlah pemainnya (gamer) juga bertambah dari tahun ke... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Permainan video merupakan satu daripada aktiviti hiburan yang mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia.

Aktiviti tersebut dilihat terus berkembang dengan pesat, malah jumlah pemainnya (gamer) juga bertambah dari tahun ke tahun.

Daripada minat yang mengisi masa lapang, ia berubah kepada industri yang mampu menjana pendapatan lumayan.

Menurut laporan Extremetech.com, pada 2020 sahaja terdapat lebih kurang 3.1 billion penduduk dunia yang memainkan permainan video.

Asia merupakan bahagian dunia yang memiliki paling ramai gamer berbanding tempat lain iaitu lebih kurang 1.6 bilion orang atau 53 peratus.

Ia diikuti oleh Eropah dengan jumlah gamer seramai 527 juta, Amerika Latin (341 juta), Timur Tengah dan Afrika - MENA (217 juta), Amerika Utara (124 juta) dan Oceania (31).

Sebanyak 1.4 bilion atau 48 peratus daripada gamer menggunakan komputer peribadi untuk memainkan peraminan video manakala 248 juta (8 peratus) menggunakan konsol, tambah laman web itu.

Sementara itu, wepc.com melaporkan, pasaran permainan video dunia dianggarkan bernilai US$159.3 bilion (RM672.7 bilion) pada 2020, meningkat 4.5 peratus berbanding US$152.1 bilion (RM642.3 bilion) pada 2019.

Jumlahnya dijangka meningkat sebanyak 26 peratus kepada USD$200.8 bilion (RM848 bilion) menjelang 2023, tambahnya.

Laman web itu menjelaskan, Asia merupakan pasaran terbesar permainan video yang mana ia menyumbang sebanyak USD$78.3 bilion (RM330 bilion) atau 49.2 peratus kepada nilai pasaran pada 2020.

Sementara Amerika Utara pula menjadi penyumbang kedua terbesar iaitu sebanyak US$39.9 bilion (RM168.4 bilion), diikuti Eropah (US$29.6 bilion/RM124.9 bilion), Amerika Latin (US$6 bilion/RM25.3 bilion) dan MENA (US$5.4 bilion/RM22.7 bilion).

Bagi negara pula, China merupakan penyumbang terbesar pasaran dengan USD34.4 bilion (RM145 bilion) manakala Amerika Syarikat pula berada di tempat kedua dengan nilai USD$31.5 bilion (RM132.9 bilion).



Secara amnya, terdapat tiga platform digunakan oleh gamer untuk memenuhi minat mereka iaitu PC, konsol dan mobile (telefom bimbit dan tablet).

Ketiga-tiga platform tersebut juga tidak terkecuali menyumbang pendapatan lumayan kepada industri permainan video dunia pada 2020.

Wepc.com melaporkan, nilai pasaran perniagaan platform PC untuk permainan video dianggarkan berjumlah US$36.9 bilion (RM155.7 bilion) pada 2020 dan dijangka meningkat kepada US$39.5 bilion (RM166.7 bilion) pada 2022.

Sementara konsol permainan video pula dianggarkan bernilai US$45.2 bilion (RM190.7 bilion) dengan jenama Play Station menggunguli carta sebagai konsol paling banyak dijual di dunia.

Bagi platform mobile pula, nilai pasarannya dianggarkan US$76.7 bilion (RM323.7 bilion pada 2020 dengan rekod gamer sebanyak 2.2 juta di seluruh dunia.

Kemajuan teknologi yang pantas bukan sahaja mendorong industri permainan video berkembang dengan lebih pesat malah turut membuka ruang kepada lebih ramai orang menyertainya.

Industri yang dulunya dimonopoli oleh golongan lelaki, kini menyaksikan peningkatan jumlah gamer wanita yang mendadak sejak kebelakangan ini.

Menurut laporan BBC.News, data diperoleh daripada Google menunjukkan gamer wanita di Asia meningkat sebanyak 19 peratus sejak 2019.

Di China sahaja, sebanyak 45 peratus gamer adalah wanita manakala Jepun, Korea Selatan dan Asia Tenggara mencatatkan gamer wanita sebanyak 40 peratus.

Sementara itu, Satista.com mendedahkan 41 peratus gamer di AS adalah dalam kalangan wanita pelbagai usia.

Bagaimanapun, jumlah sebenar gamer wanita di seluruh dunia berbanding lelaki masih lagi tidak jelas jumlahnya.

Namun, data Newzoo.com mendedahkan, gamer wanita lebih cenderung memilih platfom mobile berbanding PC dan konsol.

Jumlahnya dilaporkan empat peratus lebih tinggi daripada gamer lelaki iaitu 94 peratus manakala bagi PC dan konsol pula jumlahnya masing-masing 66 peratus dan 68 peratus.

Apa yang pasti, wanita juga tidak ketinggalan memanfaatkan permainan video, sekali gus menjana pendapatan menerusi minat tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca