[INFOGRAFIK] Tamat sudah Olimpik 2020 yang berlangsung dari 21 Julai hingga 8 Ogos 2021 di Tokyo, Jepun. Temasya yang sepatutnya diadakan pada tahun lalu itu ditangguhkan selama setahun susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia. Penutupan... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Tamat sudah Olimpik 2020 yang berlangsung dari 21 Julai hingga 8 Ogos 2021 di Tokyo, Jepun.

Temasya yang sepatutnya diadakan pada tahun lalu itu ditangguhkan selama setahun susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Penutupan temasya sukan terbesar dunia itu menyaksikan Malaysia membawa pulang dua pingat iaitu perak dan gangsa.

Malaysia yang berada di kedudukan 74 dalam temasya tersebut telah menghantar seramai 30 atlit dalam 10 sukan iaitu memanah, olahraga, badminton, berbasikal, terjun, golf, gimnastik, pelayaran, menembak dan renang.

Bagaimanapun, hanya sukan berbasikal dan badminton sahaja yang berjaya meraih pingat dalam temasya berkenaan.

Atlit yang menyumbang pingat berkenaan ialah Datuk Muhammad Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal kategori kierin lelaki dan Aaron Chia serta Soh Wooi Yik (badminton beregu lelaki).

Untuk rekod, negara kita berjaya meraih 13 pingat sepanjang menyertai temasya sukan berkenaan sejak 1956.

Sejarah Malaysia menyertai temasya Olimpik bermula setahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Pada ketika itu, negara kita telah menggunakan nama Malaya dalam dua penyertaan awalnya iaitu Olimpik 1956 di Melbourne, Australia dan Olimpik 1960 di Rome, Itali.

Ketika penganjuran Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun barulah negara kita menggunakan nama Malaysia dalam penyertaannya.

Bagaimanapun, penyertaan Malaysia dalam Olimpik dari 1956 sehingga 1988 tidak pernah membuahkan sebarang hasil.

Atlit yang dihantar ke temasya sukan terkenal dunia itu hanya pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang pingat.

Namun, pada 1992 barulah Malaysia berpeluang membawa pulang pingat selepas legenda badminton adik-beradik, Datuk Razif dan Datuk Jailani Sidek meraih gangsa dalam kategori beregu lelaki.

Sepanjang menyertai Olimpik, Malaysia dilihat lebih banyak meraih pingat dalam sukan badminton berbanding acara lain.

Setakat ini, sebanyak sembilan pingat dalam sukan berkenaan telah dibawa pulang ke Malaysia yang mana enam daripadanya adalah gangsa manakala tiga yang lain adalah perak.

Pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wee adalah individu yang paling banyak menyumbangkan pingat Olimpik kepada negara.

Sebanyak tiga pingat perak telah disumbangkan oleh beliau menerusi tiga temasya Olimpik yang berbeza iaitu Olimpik Beijing 2008, Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

Sementara sukan lain yang menyumbang pingat ialah acara berbasikal dan terjun, dipelopori oleh Datuk Muhammad Azizulhusni Awang dan Pandelela Rinong.

Masing-masing membawa pulang satu perak dan satu gangsa dalam dua temasya Olimpik berbeza yang disertai sebelum ini.

Olimpik merupakan temasya sukan nombor satu dunia yang dianjurkan dalam tempoh empat tahun sekali.

Sukan yang menampilkan pertandingan acara musim panas dan sejuk itu menyatukan puluhan ribu atlit daripada lebih 200 negara dari seluruh dunia.

Temasya pertamanya dicatatkan berlangsung pada 1896 di Athens, Greece yang mana ia menyaksikan seramai 241 atlit dari 14 negara mengambil bahagian dalam 43 acara.

Olimpik era moden pernah mencetuskan kontroversi apabila penganjurannya pada 1980 di Mocow, Rusia diboikot susulan perang Soviet-Afghan.

Boikot yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) itu menyebabkan 66 buah negara, termasuk Malaysia menarik diri daripada menyertai temasya sukan penuh gemilang itu.

Untuk rekod, kira-kira 206 buah negara menyertai Olimpik Tokyo 2020 yang mana seramai 11,091 atlit mengambil bahagian dalam 339 acara melibatkan 41 jenis sukan.

Klik di sini untuk terus membaca