IMEJ ahli-ahli politik di negara ini berada dalam keadaan amat buruk di mata rakyat. Ia semua berpunca daripada krisis politik yang berlaku ketika ini. Perebutan kuasa dan terlalu banyak politik yang tidak berkesudahan telah menyebabkan... Klik di sini untuk terus membaca

IMEJ ahli-ahli politik di negara ini berada dalam keadaan amat buruk di mata rakyat. Ia semua berpunca daripada krisis politik yang berlaku ketika ini.

Perebutan kuasa dan terlalu banyak politik yang tidak berkesudahan telah menyebabkan rakyat amat-amat jelak melihat perangai mereka.

Rasa jelak yang sudah sekian lama terpendam itu telah menyebabkan rakyat kini tidak lagi peduli pun tentang apa yang berlaku.

Yang penting sekarang adalah kerajaan yang dibentuk itu mampu untuk memberikan khidmat terbaik atau mereka akan mendapat kritikan daripada rakyat.

Jika diimbas kembali, situasi politik negara yang tidak pernah tenang bermula sejak 17 tahun lalu apabila Barisan Nasional (BN) tidak lagi menikmati majoriti besar dalam pilihan raya.

Dengan majoriti yang sedikit, pembangkang mempunyai kelebihan dan suara yang lebih kuat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11), Tun Abdullah Ahmad Badawi berjaya membawa BN untuk mencapai kenaikan undi popular sebanyak 63.9 peratus dan memenangi 198 kerusi Parlimen berbanding 20 kerusi gabungan parti pembangkang, dengan satu calon Bebas.

Ia merupakan majoriti terbesar sejak pilihan raya pada tahun 1978.

UMNO sebagai parti utama dalam BN memenangi 109 kerusi, sementara MCA memenangi sebanyak 31 kerusi dan MIC menang sembilan kerusi.

Bagaimanapun, pada PRU12, BN telah dinafikan majoriti dua pertiga dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti sebanyak 140 kerusi.

Prestasi buruk

Rekod kekalahan BN adalah yang paling buruk dan menyamai pilihan raya pada tahun 1969 dan 1999. Prestasi buruk itu telah menyebabkan Tun Abdullah menerima tekanan dan akhirnya melepaskan jawatan dan digantikan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

PRU13 menyaksikan BN menang di 133 kerusi Parlimen, sekali gus dapat membentuk kerajaan dengan majoriti tipis.

UMNO selaku tunjang utama BN mendapat sebanyak 88 kerusi, manakala Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat 89 kerusi Parlimen.

BN diasak hebat oleh pembangkang yang ketika itu menggunakan isu skandal syarikat 1MDB. Akhirnya pada PRU14, BN tumbang dan Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti mudah 113 kerusi di Dewan Rakyat.

Kemudian ditambah dengan lapan kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah, PH mempunyai 121 kerusi keseluruhannya di Parlimen.

Ia merupakan satu kekalahan bersejarah bagi gabungan BN yang belum pernah kalah sebelum ini sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957 iaitu 61 tahun yang lalu.

Namun, panas tidak sampai ke petang, sebaliknya hujan turun di tengah hari apabila PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja. Kerajaan PH tumbang apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan menyebabkan satu jajaran baharu dalam politik negara mengambil alih pemerintahan menerusi Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin pula berdepan tekanan amat hebat yang belum pernah dilalui oleh mana-mana pemimpin negara iaitu tiga krisis serentak melibatkan kesihatan, ekonomi dan politik. Akhirnya Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatan.

Tiada ubat yang mujarab untuk menyelesaikan kemelut di negara ini selain menerusi pilihan raya semula.

Tetapi, harus diingat jika masih tiada parti politik yang mendapat majoriti besar yang kuat, nampaknya kita akan terus berhadapan dengan situasi yang sama.

Justeru itu, keadaan politik tanah air akan terus berdepan bergolak pada masa depan.

Rasa jelak yang sudah sekian lama terpendam itu telah menyebabkan rakyat kini tidak lagi peduli tentang apa yang berlaku.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca