[INFOGRAFIK] Selepas teka-teki siapa Peradana Menteri (PM) kesembilan terjawab, kini rakyat menanti pula dengan penuh debaran siapakah kalangan ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan menganggotai Kabinet Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Selepas teka-teki siapa Peradana Menteri (PM) kesembilan terjawab, kini rakyat menanti pula dengan penuh debaran siapakah kalangan ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan menganggotai Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Menurut ahli Parlimen Bera itu, Kabinet baharu akan diumumkan dalam minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau kini sedang mempertimbangkan senarai ahli Parlimen yang dicadangkan oleh semua parti di bawah kerajaan pimpinannya, katanya.

Dalam pada menunggu senarai ahli Parlimen yang terpilih, beberapa pihak mula mencadangkan agar PM kesembilan itu mewujudkan Kabinet bersaiz lebih kecil berbanding sebelumnya.

Penganalisis Politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian mengesyorkan agar Kabinet baharu dibentuk nanti bersaiz lebih kecil dan mengutamakan kalangan anggota yang berwibawa untuk menguruskan krisis negara.

Sementara itu, Ahli Politik veteran, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berharap agar Kabinet baharu nanti bersaiz kecil dan mempunyai antara 20 hingga 25 ahli sahaja.

Melihat kepada negara-negara maju, Kabinet kerajaan mereka dianggotai oleh jumlah ahli yang kecil.

Bagaimanapun, anggota yang memegang portfolio dipertanggungjawabkan dapat menjalankan tugas dengan baik.

Antara negara-negara yang mengamalkan pembentukan Kabinet bersaiz kecil ialah Jerman, United Kingdom dan Finland.

Jemaah menteri yang dilantik bagi mengganggotai Kabinet mereka sekitar 25 orang sahaja malah ada sebahagiannya kurang daripada itu.

Menurut laporan dibentangkan oleh House of Common 2010-2011, sudah sampai masanya kerajaan United Kingdom mengecilkan jumlah menteri di dalam Kabinet mereka.

Laporan bertajuk "Small Government: What do Ministers do?” menjelaskan, mempunyai bilangan jemaah menteri yang ramai bukan sahaja menjejaskan kualiti kerajaan, malah ia menggangu kebebasan berparlimen.

Justeru, laporan tersebut mengesyorkan agar Kabinet lebih kecil dibentuk bagi mengurangkan kos kerajaan.

Laporan tersebut menyimpulkan, Kabinet yang besar membebankan kewangan awam selain merosakkan kepentingan kerajaan.

Tambahnya, jumlah menteri yang ramai juga boleh mendatangkan masalah dalam membuat keputusan, sekali gus menimbulkan kekeliruan terhadap tanggungjawab masing-masing.

Malaysia merupakan antara negara dunia yang mempunyai Kabinet kerajaan bersaiz besar, terutamanya ketika era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kabinet beliau menamakan lebih kurang 70 anggota merangkumi 32 menteri dan 38 timbalan menteri sehingga ia mendapat kritikan banyak pihak, terutamanya pembangkang.

Jumlahnya jauh berbeza dengan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau mentadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.

Bagaimanapun, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mempunyai Kabinet bersaiz besar.

Terdapat lagi beberapa negara yang mempunyai Kabinet bersaiz besar sehingga penubuhannya mendapat kecaman dan menjadi bahan ketawa negara lain.

Antara negara yang mempunyai Kabinet bersaiz besar ialah India, Uganda, Thailand, Bangladesh dan Congo.

Namun, kebanyakan negara dengan Kabinet bersaiz besar mempunyai populasi penduduk yang ramai berbanding Malaysia.

Untuk rekod, populasi penduduk Malaysia pada ketika ini berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia ialah sekitar 37 juta orang.

Akhir-akhir ini, banyak negara sudah mula memberi penekanan betapa pentingnya untuk mewujudkan sebuah Kabinet kecil bagi melicinkan pentadbiran negara.

Beberapa buah negara di Benua Afrika seperti Rwanda dan Kenya telah mengemukakan syarat agar Kabinet dibentuk oleh kerajaan baharu tidak diisi lebih daripada 25 anggota.

Ghana sendiri di dalam perlembagaannya telah menetapkan pelantikan anggota Kabinet negara itu mestilah tidak kurang daripada 10 atau tidak lebih daripada 19 anggota.

Ini kerana majoriti negara dunia mempunyai anggota Kabinet antara 20 hingga 25 orang sahaja.

Malah, Amerika Syarikat yang juga sebuah negara besar dengan populasi penduduk ketiga teramai di dunia mempunyai tidak lebih daripada 15 aanggota Kabinet.

Klik di sini untuk terus membaca