[INFOGRAFIK] Walaupun Malaysia mempunyai hasil pengeluaran pertanian sendiri, namun negara masih bergantung kepada import negara asing untuk memenuhi keperluan makanan domestik.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara amat bergantung kepada import bekalan daging kambing, daging lembu, mangga dan kelapa kepada negara asing.
"Hampir 70 peratus daging kambing yang beredar di pasaran tempatan diimport dari Australia manakala daging lembu pula diimport dari India.
"Bagi bekalan mangga dan kelapa pula Malaysia masih bergantung import dari Thailand dan Indonesia,” tambahnya.
Tambahnya, import tertinggi yang dicatatkan setakat ini ialah daging lembu iaitu sebanyak RM2.2 bilion, diikuti daging kambing (RM879.4 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan mangga (RM87.9).
Di samping itu, agensi tersebut menjelaskan, Malaysia juga mempunyai kebergantungan import yang tinggi terhadap lapan produk makanan lain.
Produk tersebut terdiri daripada sotong, susu segar, kobis bulat, cili, daging lembu/kerbau, halia, mangga, dan kambing bebiri.
Setiap satunya mencatat nilai import yang tinggi melebihi 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion, kata Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Katanya, peningkatan yang lebih laju dalam import berbanding eksport telah mendorong peningkatan defisit perdagangan produk makanan berjumlah RM21.7 bilion pada tahun 2020, meningkat 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Pada masa yang sama, import makanan terkumpul berjumlah RM482.8 bilion dalam tempoh 10 tahun, manakala eksport berjumlah RM296 bilion,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, skala pandemik Covid-19 telah menjejaskan perdagangan antarabangsa dan globalisasi ekoran penularan virus di aliran perdagangan antarabangsa, termasuk penawaran dan permintaan.
"Pada 2020, 24 dari 45 item menunjukkan trend penurunan bagi kadar kebergantungan import (IDR) yang disumbangkan oleh sekatan perdagangan antarabangsa ekoran pandemik yang berpanjangan,” jelasnya.
IDR menerangkan kebergantungan sesebuah negara kepada import komoditi pertanian dalam memenuhi keperluan domestik.
Nilai IDR yang tinggi menunjukkan peningkatan pada bekalan komoditi pertanian yang diimport.
Kebergantungan Malaysia terhadap import komoditi pertanian meningkat kepada 13.7 peratus dari 7.3 peratus bagi tempoh 28 tahun (1987-2015).
Pada 2020, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK secara keseluruhan mencapai 7.4 peratus.
Secara realtifnya, sumbangan negara terhadap sektor pertanian adalah kecil berbanding Indonesia (13.7 peratus) dan Thailand (8.6 peratus).
Klik di sini untuk terus membaca